suria

“Woo lebatnya hujan!” kata Syazwan Zulkifly ketika Sufian Suhaimi buat persembahan

Syazwan lantang menyuarakan pendapat mengenai kualiti suara penyanyi baharu. Foto Instagram @syazwanzulkifly

PELAKON Syazwan Zulkifly tertanya-tanya mengapa ada segelintir penyanyi baharu tidak mampu menyampaikan lagu dengan baik ketika nyanyian secara langsung berbanding seperti yang didengar di radio.

Dalam hal ini, Syazwan, 31, berkata meskipun dia tidak mempunyai ilmu mengenai muzik namun masih boleh menilai tahap kualiti suara seseorang penyanyi.

"Bukan semua... tapi ada segelintir penyanyi sekarang pelik, aku. Dekat radio lagu punyalah best. Bila live, mak aiiii. Kalau lari sikit-sikit dari yang biasa dengar kat radio boleh dimaafkan lagi, ini jauh benar teruknya.

"Aku bukanlah tahu sangat fasal muzik, tapi setakat nak dengar suara tu sedap ke tak masih oklah deria aku ni," katanya.

Pelakon drama Juvana ini berkongsi pandangan tersebut menerusi laman Facebook.

Luahan Syazwan di Instagram.

Sementara itu, Syazwan berkata dia meletakkan dirinya sebagai seorang peminat lagu tersebut dan semestinya mahu menyaksikan penyanyi itu membuat persembahan dengan baik.

Malah, di turut menasihati penyanyi baharu atau mana-mana individu yang ingin menceburi bidang ini supaya mempelajari lebih tentang muzik dan vokal.

"Aku ni peminat macam orang lain juga. Jadi bila aku dah suka dan dah jadi peminat lagu tu dan tahu korang nak perform live, mestilah aku nak dengar tengok.

"Tapi sedih laut antartik perginya. Aiyooo... Pergi kelas vokal ya adik-adik penyanyi baru dan kepada sesiapa yg teringin nak jadi penyanyi tu. Bidang ini perlukan kualiti bukan kuantiti," ujarnya.

Syazwan turut berkongsi luahan sama di Twitter (kiri) dan paparan skrin dari Instastory ketika nyanyian Sufian Suhaimi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik baru-baru ini.

Dalam pada itu, menerusi laman Twitter pula Syazwan seakan-akan memberi gambaran status tersebut ditujukan kepada penyanyi Sufian Suhaimi.

Dengan sinis dia mempersoalkan mengapa lagu Di Matamu yang dinyanyikan penyanyi asal itu tidak semerdu nyanyian Zamani semasa di pentas separuh akhir Gegar Vaganza, Ahad lalu.

"Kenapa mamat ni (merujuk Sufian Suhaimi) nyanyi lagu (dipersembahkan) Zamani Di Matamu kat semi final tak sedap ye? Eh jap lagu ni lagu siapa? Aiyooo...

"Kalau dah sesiapa pun boleh jadi penyanyi macam ni lah gamaknya. Ada duit, beli lagu best dari good composer, masuk studio rakam and yes, aku dah jadi penyanyi," katanya.

Syazwan turut berkongsi di Instastory rakaman separuh akhir Muzik-Muzik memperlihatkan Sufian sedang menyanyikan lagu Di Matamu.

Malah, dia turut menulis perkataan 'kebetulan atau suratan' dan menghalakan kamera telefon menunjukkan suasana hujan di luar beranda rumah sambil berkata; "Woo... lebatnya hujan".

Syazwan Zulkifly

Artikel Berikut

Artikel Lain