suria

‘Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta’ hit di iTunes gara-gara suara koyak Zamani

Lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta ketika ini menduduki tangga ke-15 carta iTunes.

KEGAGALAN penyanyi Zamani yang tidak dapat menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta pada minggu kelima program Gegar Vaganza 5 (GV5) malam Ahad lalu sebenarnya turut memberi hikmah.

Mana tidaknya, lagu nyanyian asal kumpulan Flybaits itu tiba-tiba menjadi perhatian pendengar yang membuat carian mengenai lagu tersebut terutamanya dalam kalangan generasi baharu.

Lagu popular era 1980-an itu muncul dalam carta penjualan lagu di iTunes sejak Isnin dan ketika artikel ini ditulis ia berada di kedudukan ke-15 dalam carta keseluruhan iTunes Malaysia manakala ke-11menerusi carta lagu Pop.

Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta dipetik menerusi album Koleksi Perdana 18 Hits Sepanjang Masa Flybaits No. 1 yang dilancarkan pada 2003.

ARTIKEL BERKAITAN: Peti suara koyak punca Zamani 'membisu' di pentas GV5

Zamani. 

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani sedar suara hilang sebelum konsert, belum tentu sertai GV5 minggu depan

Flybaits dianggotai oleh Fredo atau nama sebenarnya Villenguez Alfredo Valentino, Atan Ahmad Osman Hamzah (trumpet, penyanyi), Eddie Marzuki (gitar) dan Horace Hutapea Wilfred (piano).

Dalam persaingan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ahad lalu, Zamani gagal membuat persembahan kerana peti suaranya koyak.

Pun begitu, penonton dalam auditorium itu tetap memberi sokongan apabila sama-sama menyanyikan lagu tersebut sehingga tamat.

Jihan dan Nabil memberi sokongan kepada Zamani. Foto Instagram @astrogempak.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Gerimis Mengundang ini terselamat dari penyingkiran dan berpeluang untuk berentap di pentas minggu keenam GV5.

Sementara itu, menerusi ruangan komen muzik video lagu itu di Youtube, ramai memberitahu mereka mencari lagu itu selepas menonton program GV5.

Ada di antara mereka memberitahu sebelum ini tidak pernah mengetahui mengenai lagu itu dan ia menarik minat mereka untuk membuat carian di Youtube.

"Zamani dan Gegar Vaganza membawa saya ke sini! Tak pasal-pasal minat lagu ini.

"Sayangnya Zamani tak dapat menyanyikan lagu ini di Gegar Vaganza... Semoga Zamani cepat sembuh seperti biasa," antara komen peminat.

Artikel Lain