suria

Nabila nak ‘enjoy’ memasak, makan dan tidur tanpa gangguan

Nabila Huda ingin berehat dari dunia lakonan buat sementara.

PELAKON Nabila Huda memberitahu dia tidak menerima tawaran berlakon buat masa ini kerana ingin berehat daripada dunia lakonan buat sementara waktu.

Nabila, 34, berkata, dia mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan menikmati kehidupan di rumah.

"Ada beberapa tawaran untuk drama dan filem tapi saya tolak buat masa ini kerana mahu berehat sebentar dan menikmati masa di rumah bersama anak dan suami. Projek terakhir drama KL Gangster Underworld.

"Saya nak enjoy  memasak, makan dan tidur tanpa gangguan selain melakukan aktiviti harian sebagai isteri dan ibu," ujarnya kepada mStar Online.


Nabila bakal ke Itali

Pelakon ini ditemui pada pelancaran drama siri original HBO Asia Folklore: Toyol yang diadakan di Hotel St Regis, di sini, Khamis.

Bagaimanapun, Nabila berkata, dia akan ke Itali pada November depan bagi menjalani penggambaran program travelog untuk siaran di Instagram.

"Saya terima tawaran untuk trevelog sahaja kerana seronok dapat berjalan dan bercuti di tempat orang. Insya-Allah November ini saya akan ke Itali sekali lagi.

"Saya akan ke sana selama tiga minggu, selepas itu juga ada program travelog di Sabah tempat kegemaran saya," ujarnya.

Nabila dan Bront teraju utama Folklore: Toyol terbitan HBO Asia.

Sementara itu, bercerita tentang Folklore: Toyol, Nabila berkata, dia teruja apabila wajahnya akan ditayangkan di siaran HBO yang boleh ditonton di seluruh Asia.

Katanya, ia merupakan pencapaian terbaik apabila wajah kita berada di saluran Asia.

"Saya teruja nak tengok wajah di sendiri di saluran HBO, selalu kita tengok filem-filem luar sahaja," ujarnya.

Drama bersiri Folklore yang memaparkan enam siri kisah seram di enam buah negara Asia.

Menerusi episod Toyol mengisalkan tentang seorang wanita yang dilakonkan oleh Nabila Huda ingin membalas dendam terhadap bapanya yang pernah merogol dirinya melahirkan anak.

Dia bertindak mendekati Ahli Politik bernama Zul (Bront Palare) dengan tujuan menghancurkan kehidupan lelaki itu.

Drama tersebut akan mula disiarkan pada 7 Oktober depan, pukul 10 malam di HBO (saluran 411/431)

Nabila Huda

Artikel Lain