suria

Persembahan piano Tengku Irfan pukau penonton di Konsert Gala MPO

Persembahan memukau MPO sempena ulang tahun ke-20 penubuhan mereka, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR: Cukup gah dan gilang gemilang, itulah yang dapat digambarkan mengenai konsert gala yang diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-20 Orkestra Filharmonik Petronas (MPO), Sabtu lalu.

Paling mendapat perhatian tentunya persembahan piano oleh Tengku Irfan yang baru sahaja dilantik sebagai Duta Remaja MPO bermula Ogos lalu.

Pada malam itu, dia berjaya memukau penonton menerusi persembahan karya ciptaan Tchaikovsky, Piano Concerto No.1.

Sejurus menamatkan persembahan, dia menerima tepukan gemuruh hampir lima minit oleh seluruh hadirin di dalam dewan itu.

Selain bermain piano, Tengku Irfan turut bertindak sebagai konduktor pada malam itu.

Ternyata anak muda berusia 20 tahun itu berada dalam liga tersendiri dan menjadi highlight utama pada malam itu.

Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu turut dimeriahkan dengan persembahan MPO yang dikemudi oleh Jac van Steen sebagai konduktor.

Karya-karya klasik yang diperdengarkan seperti Overture to The Bartered Bride, Carnival Overture dan Scheherazade ternyata berjaya membuai penonton sehingga ke penghujung konsert.

Selain konsert itu, MPO juga bakal mengadakan pelbagai konsert menarik bagi meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan mereka.

Antara konsert yang bakal dianjurkan termasuklah Brahms' Double Bethoven's Fifth pada 25 dan 26 Ogos, The Music of Hans Zimmer (29 dan 30 September) serta Symphonic for our World (6 dan 7 Oktober).

Selain itu, konsert Semalam Di Malaya pada 15 dan 16 September ini bakal menampilkan penyanyi popular seperti Aishah, Liza Hanim, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio.

Komposisi klasik yang dipersembahkan cukup untuk membuat segenap pelusuk dewan terpaku.

Menerusi konsert itu, mereka akan mendendangkan lagu-lagu P.Ramlee dan rangkaian hits klasik kepada penonton yang hadir.

Paling mencuri tumpuan tentunya konsert Upin & Ipin with the MPO yang dijadualkan berlangsung pada 14 Oktober depan.

Ia mencatat sejarah sebagai kemunculan pertama animasi popular itu bersama MPO dan dijangka mendapat sambutan hangat dari penonton cilik di negara ini.

Bagi mereka yang berminat, sila layari www.mpo.com.my atau hubungi talian 03-23317007.

Artikel Lain