suria

Pertaruh 'Jodoh Syaitan' sebagai filem pertama

Antara babak dalam filem Jodoh Syaitan.

SAMBUTAN terhadap filem-filem seram membuatkan produksi baharu Da Motion Media tertarik untuk menerbitkan karya pertama mereka berjudul Jodoh Syaitan.

Penerbitnya, Mokharul Shamsul Moktar atau Asey berkata, dia yakin pertaruhan itu akan membuahkan hasil biarpun pasaran filem negara ini tidak menentu.

"Kalau diikutkan pasaran filem di negara ini tidak menentu, tetapi ia bukan halangan buat saya untuk menghasilkan filem.

"Lagipun dengan cara ini juga saya dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakan-rakan kru dalam industri,” ujarnya.

Antara pelakon yang terlibat dalam filem Jodoh Syaitan.

Filem berkenaan membariskan pelakon seperti Soffi Jikan, Abam Bocey, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi dan Jay Izwazir.

Tambah Asey, dia turut memilih Ismail Bob Hashim sebagai pengarah berikutan bakat dan mempunyai sentuhan yang tersendiri.

"Saya sudah lama mengenali Bob dan tahu cara kerjanya. Jadi, saya yakin dengan kemampuannya untuk menghasilkan filem ini.

"Untuk pemilihan pelakon pula, ia merupakan hasil perbincangan kami berdua dan gembira kerana mendapat barisan pelakon yang sememangnya berbakat besar dan ada aura tersendiri,” jelasnya.

Penggambaran filem bermula pada 18 Julai lalu di Pasir Puteh, Kelantan dan Jertih, Terengganu.

Filem ini mengisahkan tentang Megat, seorang pemuda kampung yang sering menemui kegagalan dalam percintaan dan diminta ibunya untuk pulang ke kampung kerana ingin mengahwinkannya dengan seorang gadis bernama Mawar.

Pada masa sama, Tok Chai bersama dua pengikut setianya yang juga kawan Megat di kampung iaitu Awang dan Kulup sedang sibuk mencari mayat untuk dipaku, dengan harapan ia hidup semula untuk dijadikan isteri kepada Tok Chai bagi memenuhi hawa nafsunya.

Jodoh Syaitan

Artikel Lain