suria

Kaka Azraff ‘Sibuk’... tidak tertekan

Kaka Azraff tampil dengan single keenamnya yang berjudul Sibuk menampilkan Alif. Foto AZLINA ABDULLAH

PENYANYI Kaka Azraff memberitahu dia tidak pernah berasa tertekan dengan status dirinya yang masih solo walaupun usianya sudah menjengah 29 tahun.

Ini kerana kata Kaka, kesibukan dengan karier seninya membuatkan dia tidak mempunyai masa untuk berfikir soal pasangan hidup buat masa ini.

"Sudah hampir dua tahun saya bersendiri, sejujurnya saya tidak tertekan dengan keadaan itu kerana saya sendiri sibuk dengan kerjaya saya sebagai penyanyi dan pelakon.

"Sebenarnya saya suka sibukkan diri kerana dengan cara itu saya tidak berasa kosong kerana sentiasa ada perkara yang perlu dilakukan," katanya.

Kaka kini turut bergiat aktif sebagai pelakon. 

Kaka ditemui pada majlis pelancaran single keenamnya berjudul Sibuk yang turut menampilkan Alif yang diadakan pada Rabu.

Bagaimanapun kata Kaka, itu bukan bererti dia tidak mengambil berat mengenai soal jodoh malah memberitahu pernah cuba memulakan hubungan namun ia tidak kesampaian.

"Kalau ada kekasih atau ingin berkahwin mesti saya berkongsi berita itu dengan semua namun setakat ini memang tidak ada.

"Berkawan itu ada tetapi sekadar itu sahaja atau hubungan itu tidak menjadi. Insya-Allah ada nanti rezeki saya," jelasnya.

Kaka selesa bekerjasama dengan Alif. 

Bercakap mengenai Sibuk, Kaka berkata, lagu itu sebenarnya milik Alif namun tertarik apabila diperdengarkan versi demo yang sudah pun dirakamkan oleh bekas anggota kumpulan Sleeq itu.

Kata Kaka, dia masih meneruskan kerjasama dengan Alif kerana merasakan komposer berbakat itu tahu akan cita rasanya dalam muzik selain sering menampilkan kelainan dalam setiap lagu untuknya.

"Sibuk boleh saya katakan sebagai arah baharu saya dalam muzik tetapi masih mengekalkan 'trademark' saya.

"Dia tidak cuba mengikut trend muzik semasa sebaliknya lebih memfokuskan kepada apa yang sesuai dan terbaik untuk saya.

Alif pencipta lagu Sibuk.

"Pertama kali dengar Sibuk saya memang sudah tertarik hati dan Alhamdulillah Alif akhirnya beri lagu ini kepada saya," katanya.

Sibuk boleh didapati di semua pelantar digital seperti spotify, iTunes, KKBox, Deezer dan Apple Music bermula 20 Julai ini manakala muzik videonya akan dilancarkan di YouTube pada 3 Ogos.

Dalam perkembangan lain, Kaka berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem terbitan Indonesia, Zharfa The Movie selain drama bersiri Inai Yang Hilang sedang ditayangkan di ntv7.

Kaka Azraff, Alif, Sibuk

Artikel Sebelum

Artikel Lain