Perbalahan jadi punca, kelab peminat Fattah Amin akhirnya bubar - Hiburan | mStar

Perbalahan jadi punca, kelab peminat Fattah Amin akhirnya bubar

Kelab peminat Fattah Amin umum pembubaran.

SELEPAS lima tahun ditubuhkan dengan tujuan menyokong kerjaya pelakon popular Fattah Amin, akhirnya kelab peminat rasmi The Fa Team dibubarkan.

Berita pembubaran itu diumukan kelab berkenaan pada malam Selasa.

Menerusi laman sosial @Thefa_Team, keputusan tersebut disebabkan status yang dimuat sebelum ini telah menimbulkan perbalahan dalam kalangan peminat aktor itu.

"Rasanya tidak perlu tempoh bertenang yang kami inginkan. Selagi mana ada pihak yang masih tidak mahu berlapang dada, selagi itu keadaan akan menjadi keruh dan tak ada kesudahan.

"Kami mohon maaf sekiranya kenyataan kami siang tadi menimbulkan kacau bilau, apatah lagi untuk menjatuhkan maruah sesiapa seperti digambarkan segelintir pihak," tulisnya pemilik akaun itu.

Status kelab peminat Fattah sebelum memadam akaun laman sosial tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan mStar Online mendapati akaun laman sosial iaitu Instagram dan Facebook kelab peminat itu sudah dipadam.

Sebelum itu, kelab peminat tersebut memuat naik status memberitahu mereka mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu. Status tersebut menjadi pertikaian segelintir netizen.

Dalam pada itu, netizen yang menulis komen-komen di ruangan Instagram Fattah menuduh kelab peminat tersebut telah menyentuh kehidupan peribadi dan privasi pelakon berkenaan dan isterinya Fazura. 

Namun, pihak kelab peminat tersebut tidak menyatakan punca mereka mengambil tindakan tersebut.

Dalam pada itu, tambah kenyataan itu, pihak mereka tidak pernah mempunyai niat buruk terhadap Fattah dan menyokong kerjayanya sejak belum dikenali ramai.

Kelab peminat tersebut didakwa mencetuskan perbalahan dalam kalangan peminat Fattah dan isterinya Fazura.

Kata kenyataan itu, selama lima tahun mereka berkerja keras untuk menyokong kerjaya pelakon berkenaan sehingga sampai ke tahap sekarang.

"Lima tahun kami dengan dua dari tiada apa-apa sampailah ke tahap sekarang. Kami lalui bersama-sama Fatah Amin seperti keluarga sendiri.

"Kami tidak minta banyak cuma jangan pertikaikan nawaitu kami selama lima tahun bersama Fattah. Kami tidak pernah ada niat lain selain mahu melihat Fatah Amin berjaya," ujarnya.

Dalam pada itu, Instagram milik pelakon Suri Hati Mr Pilot itu terus menjadi tempat luahan peminat yang memberi kata-kata semangat dan ada segelintir yang mempersoalkan pembubaran berkenaan. 

Sehingga kini hampir 1,000 komen netizen pada foto di Instagram Fattah berkaitan hal berkenaan.

Fattah Amin , Fazura

Artikel Sebelum

Lebih Artikel