suria

“Ini kali pertama dan terakhir!” - Waris

Waris tidak berhasrat untuk meneruskan karier dalam bidang lakonan.

PENYANYI rap yang popular dengan loghat Negeri Sembilan, Waris tidak berhasrat untuk meneruskan karier dalam bidang lakonan selepas pertama kali membuat kemunculan dalam filem This Is Pilah: The Movie yang sedang ditayangkan di pawagam ketika ini.

Waris atau Muzammil Alias, 29, berkata, keputusan itu dibuat kerana tidak mempunyai minat mendalam dalam lakonan dan penampilannya dalam filem itu sekadar mencuba.

"Ini kali pertama dan terakhir! Lakonan bukan untuk saya kerana saya tidak mempunyai bakat atau minat dalam lakonan.

"Saya nak bawa watak utama pun, wajah saya pun bukanlah kacak sangat.

This is Pilah: The Movie sedang ditayangkan di pawagam.

"Kemunculan saya dalam This Is Pilah: The Movie pun bukanlah besar tetapi sekurang-kurangnya dapatlah sedikit pengalaman dan rasanya lebih baik saya fokus sebagai penyanyi rap," katanya.

Waris ditemui pada majlis tayangan perdana filem arahan Rosdi Md. Dali itu yang diadakan pada Khamis.

This Is Pilah: The Movie membariskan barisan pelakon seperti Juzzthin, Kazar, Joey Daud, Ebby Yus dan Zaidatul Iesna Mohd Raus.

Filem itu mengangkat tentang adat Pepatih dengan jalan cerita yang menarik selain menggunakan 100 peratus dialek Negeri Sembilan.

Bercakap lanjut mengenai filem tersebut, Waris berkata, dia berbangga dengan seluruh tenaga produksi yang menjayakan pembikinan naskhah itu kerana mengangkat topik yang jarang diketengahkan dalam cara santai dan menghiburkan.

Juzzthin.

Malah katanya, beberapa tahun sebelum ini dia pernah memasang angan-angan untuk melihat filem seumpama itu dihasilkan dan akhirnya ia terlaksana.

"Saya teringat pernah bersembang dengan Juzztin kerana kami sama-sama anak kelahiran Negeri Sembilan dan berangan tentang filem seperti This Is Pilah: The Movie.

"Malah saya membayangkan Juzzthin memegang watak utama dan siapa sangka ia akhirnya berlaku dan saya sangat bangga dengan Juzzthin yang saya rasa berjaya membawa wataknya dengan baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Waris berkata, dia kini sedang sibuk menyiapkan beberapa buah lagu bersama Juzzthin dalam usaha mereka mengangkat kembali era kegemilangan hip hop dan rap dalam kalangan pendengar.

Kata Waris, dia senang bekerjasama dengan Juzzthin dan akan melancarkan lagu kolaborasi mereka selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain