suria

Ketika jatuh baharu Fizo rasa nikmat bahagia

Fizo pernah melalui zaman kejatuhan ketika waktu bujang.

BANGI: Pelakon dan usahawan Fizo Omar mengakui jika seseorang itu memiliki wang yang banyak ia tidak semestinya boleh mendatangkan kebahagian.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 33, berkata, dia belajar mengenal erti kebahagian ketika mengalami zaman kejatuhan sebelum berkahwin.

"Alhamdulillah, kehidupan saya semakin baik semenjak kelahiran puteri sulung saya dan isteri. Saya dapat rasakan kebahagian itu.

"Sebab masa zaman bujang saya terlalu mengejar karier dan kewangan. Tapi apabila Allah uji saya jatuh bankrap dan kena tipu. Dari situ saya mula mengenal erti kebahagian.

Fizo dan rakan kongsi perniagaannya berbuka puasa bersama anak-anak asnaf dan yatim.

"Tak semestinya kita ada duit, kita boleh bahagia. Proses yang saya jatuh tu, saya banyak belajar," kata Fizo kepada mStar Online.

Fizo ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia Kajang di Restauran Fizo Mawar di sini pada Khamis.

Tambah Fizo, dia menghilangkan diri dalam industri seni selama empat tahun kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan.

Kata Fizo, perancangan Allah itu sangat sempurna apabila dia dan isteri dikurniakan cahaya mata pertama selepas empat tahun berkahwin.

"Saya hilang selama empat hingga lima tahun ini sebab nak fokus pada perniagaan. Bagi ruang untuk diri belajar. Saya pernah tertanya kenapa Allah tak beri rezeki anak awal?

Fizo bahagia disamping puteri sulung dan isterinya.

"Apabila fikir balik, kalau Allah bagi anak waktu itu, mungkin saya tak dapat luangkan masa dengannya. Saya kerja keras keluar pagi, balik tengah malam.

"Kadang-kadang ada kerja luar seminggu. Isteri pun sama. Susunan Allah itu cantik. Selepas perniagaan kami semakin baik, baru dikurniakan bayi.

"Kami ada masa untuk bersama dan saya juga boleh bekerja dari rumah sahaja. Duit tak banyak tapi cukuplah untuk menampung keluarga kecil saya," ujarnya.

Fizo dan isterinya, Mawar Abdul Karim berkahwin pada 10 November 2013 dan dikurniakan anak bernama Wan Mariam pada 29 Desember tahun lalu.

Fizo Omar

Artikel Lain