suria

Hubungan Ery Putra, Farah Hazel di ambang perpisahan

Erry Putra mendedahkan hubungannya dengan Fara Hazel tidak mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.

PELAKON dan penyanyi Erry Putra mendedahkan hubungan cintanya dengan pendatang baharu Fara Hazel di ambang perpisahan ekoran ia tidak mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.

Erry atau Mohd Razlan Hamzah @ Ahmad, 40, turut memberitahu mereka juga sudah tidak berhubungan sebelum masuk bulan Ramadan selepas berlaku sedikit salah faham.

ARTIKEL BERKAITAN: Fara Hezel mengaku Erry Putra kekasihnya

"Status sekarang? Sukar hendak saya katakan kerana keluarga kedua-dua belah pihak tidak merestui hubungan ini jadi kami berdiam diri buat masa sekarang.

"Sebelum puasa kami sudah tidak saling berhubung dan untuk mengelakkan lebih banyak salah faham lebih baik kami diam," katanya.

Fara Hazel sebelum ini mengakui Erry adalah teman lelakinya.

Erry ditemui pada majlis berbuka puasa Havoc Raya 2018 yang diadakan pada Isnin.

Sebelum ini, Fara yang juga kakak kepada penyanyi Aiman Tino mendedahkan Erry adalah teman lelakinya selepas berkenalan hampir lima bulan lalu.

Dalam pada itu, Erry menyangkal dakwaan hubungan mereka itu sekadar gimik bagi mempromosikan lagu terbaharu masing-masing yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Jujurnya, saya sendiri tidak bersedia untuk masyarakat tahu hubungan kami tetapi orang dapat hidu juga apabila ternampak kami bergaduh di Instagram ketika Fara buat video 'live'.

"Orang ingat ia gimik mungkin sebab saya baru sahaja keluar lagu dan Fara juga bakal melancarkan albumnya tidak lama lagi, tetapi itu bukan apa yang berlaku," ujarnya.

Erry menjelaskan lelaki berbadan sasa yang sering bersamanya adalah adik tirinya.

Sementara itu, Erry turut menyangkal dakwaan dia menjalinkan hubungan songsang dengan seorang jejak berbadan sasa selepas dia sering memuat naik video dan foto mesra bersama lelaki itu di Instagram.

Sebaliknya kata Erry, lelaki itu adalah adik tirinya iaitu Syafiq Putra dan dia mempunyai sebab tersendiri mengapa sering memuat naik gambar dan video mereka berdua.

"Syafiq adalah adik tiri saya, satu mak tetapi berlainan bapa. Tanggapan orang itu memang tak boleh dihentikan sebab wajah kami pun tak sama.

"Tetapi mana yang tahu... tahulah. Saya sebenarnya cuma untuk mempromosikan dia sebagai artis dan rasanya dengan cara itu sahaja saya dapat berbuat demikian.

Erry dan Syafiq mempromosikan baju raya sepanjang Ramadan.

"Syafiq juga adalah rakan duet saya dalam lagu Aku Tahu selain pernah berlakon dalam drama Teman Pengganti sebelum ini," jelasnya.

Tambahnya, Syafiq, 23, mempunyai keyakinan diri yang rendah jadi sebagai abang dia mahu membantu memperkenalkannya kepada peminat industri hiburan.

Dalam perkembangan lain, Erry berkata, sepanjang Ramadan ini, dia dan Syafiq akan sibuk mempromosikan baju raya hasil kolaborasi dengan sebuah butik bersempena.

Kata Erry, menariknya mengenai baju raya dikeluarkan, ia menggabungkan tiga elemen masyarakat di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India dalam rekaannya.

Antara barisan artis yang bakal memeriahkan Havoc Raya 2018.

"Kita gabungkan tiga bangsa pada rekaan untuk tampil kelainan tetapi saya tidak keluarkan banyak kerana ini sebagai percubaan.

"Bagaimanapun sambutan menggalakkan daripada pembeli dan sebab itu juga kami banyak melibatkan diri dalam festival jualan raya untuk promosi dan jualan," katanya.

Dalam masa terdekat Erry berkata, dia bersama beberapa barisan selebriti terkenal akan muncul pada Havoc Raya 2018 yang berlangsung selama 77 jam tanpa henti pada 1 hingga 3 Jun ini.

Festival itu bakal diadakan di Cheras Sentral Mall, Kuala Lumpur.

Artikel Lain