suria

Sepupu Janna Nick belum sedia jadi hero bimbang dilabel 'kayu'

Adam Lee tidak mahu terburu-buru memegang watak utama kerana masih banyak perlu dipelajarinya. Foto Instagram @adm.lee

PELAKON baharu Adam Lee memberitahu dia masih belum bersedia untuk memegang watak utama kerana bimbang dilabel 'kayu'.

Adam atau Muhamad Arif Adam Mohamad Fadlee, 24, sebaliknya berkata, buat masa ini dia lebih selesa diberi watak pembantu bagi menimba pengalaman dan teknik lakonan sebelum menerima peranan utama.

"Jujurnya belum tiba masanya lagi untuk saya beraksi sebagai hero dalam drama kerana banyak lagi yang perlu saya belajar kerana lakonannya ini bukannya mudah.

Nama Adam semakin dikenali peminat.

"Saya bimbang juga kalau saya terburu-buru menerima tawaran peranan utama dan masih belum bersedia penonton akan kecam saya dan kata lakonan saya 'kayu'.

"Lebih baik saya mula dari bawah dan timba ilmu sebanyak mungkin sebelum benar-benar bersedia," katanya.

Dalam pada itu, Adam yang juga sepupu kepada aktres Janna Nick berkata, dia terkejut apabila drama bersiri Pengantin Musim Salju mula mendapat perhatian peminat walaupun ia masih belum ditayangkan.

Katanya lagi, pengikutnya di Instagram juga mula naik secara mendadak dan melihat ia impak yang baik kepada kariernya walaupun peranannya dalam drama bersiri itu sekadar pelakon pembantu.

Adam bergandingan dengan Siti Nordiana dalam Pengantin Musim Salju.

"Memang tak sangka drama itu mendapat perhatian penonton walaupun ia masih belum ditayangkan dan ia petanda baik.

"Saya sendiri terkena tempias apabila pengikut di Instagram naik sebanyak 5,000 sejak pihak produksi promosi drama itu di laman sosial," jelasnya.

Pengantin Musim Salju menampilkan Siti Nordiana dan Alif Satar itu bakal ditayang pada Ramadan ini di Astro Ria.

Adam Lee, Janna Nick

Artikel Lain