suria

Alina Hassan enggan lagi jadi penyanyi

Alina anggap usianya tidak sesuai untuk menjadi penyanyi.

PETALING JAYA: Protege kepada Siti Sarah iaitu Alina enggan meneruskan kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini kerana faktor usia.

Alina atau nama sebenarnya Alina Hassan, 50, berkata dia ingin memberi tumpuan kepada perniagaan perkhidmatan pembersihan berbanding menumpukan perhatian dalam bidang seni secara sepenuh masa.

"Saya rancang nak beli sebuah van dengan hasil daripada wang kemenangan yang saya dapat itu.

"Nak buat bisnes dalam perkhidmatan pembersihan. Saya tak nak teruskan kerjaya sebagai penyanyi. Nak tumpukan pada perniagaan itu sahaja.

Alina mahu fokus pada bisnes perkhidmatan pembersihan.

"Mungkin disebabkan faktor usia saya dah tidak sesuai untuk berada di dalam industri seni," kata Alina kepada mStar Online.

Alina mendapat tempat ketiga pada malam akhir Mentor Otai yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Ahad.

Dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 berserta trofi.

Bagaimanapun, Alina hanya akan menerima tawaran mengadakan persembahan di majlis-majlis dengan menyanyikan lagu penyanyi lain.

"Kalau ada tawaran untuk saya membuat persembahan di mana-mana acara atau majlis, mungkin saya akan terima.

Alina dan mentornya, Siti Sarah.

"Tapi saya tidak akan mengeluarkan single atau lagu sendiri. Mungkin saya akan menyanyikan lagu penyanyi-penyanyi lain yang sedia ada," ujarnya.

Dalam pada itu, Alina yang merupakan bekas juara Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3 pada tahun 1996 berpuas hati dengan prestasi persembahannya di program realiti tersebut.

"Saya berpuas hati kalau Siti Sarah pun turut rasa bangga dengan saya. Sebab apa yang saya buat adalah kerana dia.

"Kalau dia rasa okey, saya pun ikut sahaja. Apa-apa saya ingin berterima kasih dengan dia yang banyak membantu sepanjang dalam program ini," katanya.

Mentor Otai dijuarai oleh protege kepada Misha Omar, Elvira dan Azee (Zarul Husin) mendapat tempat kedua manakala tempat keempat adalah milik AJ (Tam Spider).

Alina, Mentor Otai

Artikel Lain