Bekas ahli Sweet Child, Umbrella bergabung sebagai Indera Band - Hiburan | mStar

Bekas ahli Sweet Child, Umbrella bergabung sebagai Indera Band

Indera Band dianggotai oleh (dari kiri), Saiful, Lians dan Aalan.

KUALA LUMPUR: Bekas anggota dari dua kumpulan popular 1990-an iaitu Sweet Child dan Umbrella mengambil keputusan bergabung dan menggelarkan diri mereka sebagai Indera Band.

Gitaris kumpulan itu Aalan Ahmad yang sebelum ini menganggotai Sweet Child berkata, dia bersama pemain drum, Saiful Nizam (Umbrella) bergabung kerana ingin meneruskan legasi dan pengalaman sebelum ini selain ingin memeriahkan industri muzik tempatan.

“Sebenarnya Indera Band sudah ditubuhkan sejak 2015 tetapi sebelum ini kami bergerak secara ‘undergound’.

“Kami bergabung pun kerana ada keserasian di antara satu sama lain selain ingin mengetengahkan kembali muzik yang pernah kami perjuangkan sebelum ini.

Sudah turut menampilkan penyanyi rap Hunny Madu.

“Kebetulan kami berdua pun aktif menghasilkan lirik dan lagu jadi kami gunakan kelebihan itu untuk memperkenalkan Indera band,” katanya.

Aalan ditemui pada majlis pelancaran single Indera Band berjudul Sudah yang turut menampilkan penyanyi rap Hunny Madu yang diadakan pada Khamis.

Selain Aalan dan Saiful, Indera Band turut dianggotai oleh Lians Aziz selaku vokalis.

Sudah adalah gubahan Aalan Ahmad dan lirik oleh Aalan Ahmad, Liana Azia, Saiful dan Hunny Madu.

Indera Band tampil dengan single pertama berjudul Sudah.

Dalam pada itu, Aalan berkata, vokalis Indera Band berasal dari Indonesia dan mereka mengambilnya sebagai penyanyi utama kerana tertarik dengan keunikan vokalnya sebagai penyanyi.

“Lians sudah lama menyanyi tetapi bukan secara komersial dan kami tertarik dengan keunikan vokalnya dan mengambilnya sebagai vokalis kami.

“Dia pun sudah lama menetap di Malaysia malah isterinya juga orang tempatan,” ujarnya.

Bercakap mengenai Sudah, Aalan berkata, mereka berkolaborasi bersama Hunny Madu kerana ingin meraikan variasi muzik dalam kalangan pendengar.

Gandingan Indera Band dan Hunny Madu diharap dapat diterima baik peminat. 

Malah katanya, ia juga satu pendekatan berbeza kerana jarang sesebuah lagu berentak pop balada mengetengahkan penyanyi rap wanita.

“Kehebatan lagu ini terletak pada bait-bait rap Hunny Madu dalam bahasa Melayu kerana dia memberikan ‘feel’ berbeza kepada Sudah.

“Ini juga sebagai satu pendekatan berbeza kepada lagu-lagu lain sedia ada dan besar harapan kami agar Sudah diterima baik peminat,” katanya.

Indera Band , Hunny Madu , Sudah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Terpukau dek penangan One Republic

Artikel Lain