suria

Armada Batal Konsert, Beri Laluan PRU14

Kumpulan Armada sepatutnya mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 17 Mac depan.

KUMPULAN terkenal dari Indonesia, Armada terpaksa menangguhkan konsert Empire Live Present Armada Asal Kau Bahagia Tour di Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung di KL Live @ Live Centre pada 17 Mac ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pihak penganjur Empire Live, pembatalan konsert itu berikutan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

"Dengan rasa rendah diri, kami memohon maaf atas segala kesulitan dan sangat berterima kasih dengan sokongan padu pihak media terhadap promosi konsert ini sebelum ini.

"Satu tarikh lain akan diberitahu kelak mengenai konsert itu," kata wakil Empire Live, Ganjar Tribowo.

Sehubungan itu, peminat yang sudah membuat pembelian tiket boleh mengunjungi laman web airasiaredtic.com/armada_asal_kau_bahagia_tour bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung tiket yang sudah dibeli.

Armada yang popular menerusi lagu Asal Kau Bahagia sepatutnya mengadakan konsert tersebut sebagai penghargaan dan meraikan 10 tahun penubuhan kumpulan itu bersama peminat di negara ini.

Dianggotai oleh Rizal Armada, Radha, Mai, Andit dan Endra, konsert itu sepatutnya menjadi persembahan berskala besar pertama mereka di Malaysia.

Armada, Asal Kau Bahagia

Artikel Lain