suria

“Bukan Menunjuk, Takut Batal Wuduk” – Haqiem Rusli

Haqiem tidak mengetahu gambar tersebut dirakam seorang peminat baru-baru ini. Foto: The Star/ URTV

PENYANYI Haqiem Rusli memberitahu penyebaran foto dia sedang mengerjakan solat di belakang pentas baru-baru ini bukanlah berniat untuk menunjuk-nunjuk.

Haqiem berkata, dia tidak mengetahui gambar tersebut dirakam oleh seorang peminat ketika dia menjayakan program anjuran sebuah majalah hiburan.

"Sejujurnya saya tak ada niat nak menunjuk-nunjuk atau riyak dengan bersolat di belakang pentas.

"Malah, saya pun tak tahu bila gambar tersebut diambil oleh peminat dan tiba-tiba ia tersebar di laman sosial," katanya kepada mStar Online.

Foto tersebut disebarkan oleh seorang peminat.

Sementara itu, penyanyi lagu Jatuh Bangun ini turut memberitahu dia mempunyai sebab dan alasan bersolat di ruangan kecil tersebut.

"Sebenarnya saya dah terlambat mengerjakan solat ketika itu dan kedudukan surau pula agak jauh dari pentas.

"Jadi saya memilih untuk bersolat di ruangan kecil di belakang pentas kerana tidak mahu terkejar-kejar.

Haqiem berharap perkongsian tersebut bermanfaat untuk semua.

"Kalau saya memilih bersolat di surau, pasti akan mengambil masa yang agak lama kerana perlu bertemu peminat dan bimbang jika wuduk terbatal kerana bersentuhan dengan bukan mahram," ujarnya.

Dalam pada itu, remaja berusia 18 tahun ini berkata dia tidak memarahi peminat yang memuat naik foto tersebut kerana berasakan ia turut bermanfaat kepada orang lain.

Ujarnya, perkongsian tersebut tidak membawa maksud negatif dan berharap mampu menyedarkan masyarakat mengenai kewajiban bersolat.

Haqiem bakal muncul dengan single berbahasa Inggeris khas untuk peminatnya.

"Saya tak marah orang yang ambil gambar itu kerana ia secara tak langsung membuka mata masyarakat mengenai kewajiban menunaikan solat.

"Tak kira kita berada di mana sekalipun, kalau tempat itu bersih, tak salah untuk kita bersolat.

"Moga-moga apa yang dikongsikan oleh peminat itu membawa manfaat kepada semua dan jadikan ia pengajaran untuk kita semua," katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Haqiem bakal melancarkan mini album yang mengandungi enam buah lagu tidak lama lagi. Lebih istimewa, dia turut mencipta sebuah lagu berbahasa Inggeris istimewa untuk peminat berjudul Qiemilio.

Haqiem Rusli

Artikel Lain