suria

Fazley Kembangkan Perniagaan, SukaSucre Bistro Kedua Tidak Lama Lagi

Fazley menunjukkan aplikasi permainan video atas talian diberi nama Chef Fazley Kitchen yang merupakan aplikasi pertama dibangunkan di Asia. FOTO: Ong Soon Hin

CEF Selebriti Datuk Fazley Yaakob mempunyai perancangan untuk membuka cawangan kedua restoran SukaSucre Bistro di Sri Hartamas, Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Menurut Fazley, lokasi tersebut difikirkan strategik untuk dikunjungi pelanggan kerana menjadi laluan utama penduduk kota.

"Kami sasarkan untuk membuka cawangan baru selepas Hari Raya Aidilfitri ini kerana lokasinya strategik dan mudah untuk dikunjungi.

"Sejujurnya, lokasi tersebut juga dekat dengan rumah saya dan lebih mudah untuk saya uruskan perniagaan," katanya kepada mStar Online.


Fazley menunjukkan demonstrasi masakan kepada wartawan. FOTO: Ong Soon Hin

Fazley ditemui semasa pelancaran aplikasi permainan video di atas talian dan wajah baharu SukaSucre Bistro di restoran tersebut di Cheras Kuala Lumpur pada Selasa.

Sementara itu, Fazley memberitahu dia sudah menjalankan perniagaan restoran virtual atau atas talian yang memberi peluang kepada pelanggan memilih menu pilihan.

"Sekarang ini kami hendak meluaskan lagi restoran secara virtual dan pelanggan boleh pilih menu kegemaran mereka.

"Kita akan hantar tempahan sampai ke rumah dan tak perlu bersusah payah untuk ke restoran. Lebih mudah dan senang. Walaupun agak baru di Malaysia namun teknik perniagaan begini sudah lama dilakukan di luar negara," ujarnya.

Bercakap mengenai aplikasi permainan video atas talian diberi nama Chef Fazley Kitchen, ia merupakan aplikasi pertama dibangunkan di Asia.

Fazley (kiri) melihat wartawan menunjukkan bakat memasak. FOTO: Ong Soon Hin

Ujarnya, aplikasi tersebut mencabar pengguna menyediakan makanan menggunakan resipi berasaskan masakan Melayu.

"Saya cemburu apabila chef antarabangsa, Gordon Ramsy ada aplikasi sendiri dan tertanya-tanya kenapa kita tak buat juga. Bermula daripada situ timbulnya idea permainan video ini.

"Yang menariknya pengguna aplikasi ini perlu melalui ujian penyediakan makanan berasaskan masakan Melayu.

"Setiap bulan kita mencari lima pemenang utama untuk menikmati makanan percuma di restoran kami," ujarnya.

Aplikasi tersebut boleh dimuat naik di AppStore dan Google Play Store secara percuma.

Fazley Yaakob

Artikel Lain