suria

Indah Ruhaila Kini Bergelar Isteri

Indah dan Ahmad Shariff sah bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz pada Ahad. Foto Instagram @sethandluna_studio

PETALING JAYA: Penyanyi Indah Ruhaila sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya Ahmad Shariff Ahmad Taufik dengan sekali lafaz pada pagi Ahad.

Ahmad Shariff dan Indah, 30, itu disatukan sebagai suami-isteri kira-kira pukul 9.30 pagi dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Bizmillah Wedding Center, Subang Jaya di sini.

Hanya keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua pasangan mempelai dijemput menghadiri ke majlis tersebut.

Menerusi InstaStory di Instagram milik pereka fesyen, Seth & Luna yang memuat naik video pernikahan pasangan itu turut memperlihatkan Ahmad Shariff menyerahkan mas kahwin berjumlah RM1,000 kepada Indah.

Dalam pada itu, pasangan pengantin akan mengadakan majlis kenduri pada sebelah malam di lokasi sama.

Indah mengenakan busana rekaan pereka fesyen, Seth & Luna.

Sementara itu, Indah dalam satu kenyataan kepada media berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini mendoakan kebahagiaannya.

“Alhamdulillah, Shariff lelaki terbaik yang hadir dalam hidup saya. Terima kasih kepada semua pihak termasuk peminat yang mendoakan saya.

“Saya dan suami ada merancang untuk berbulan madu selepas ini tetapi masih tidak tahu destinasi pilihan. Doakan kebahagian dan kesejahteraan kehidupan kami suami isteri,” katanya.

Indah turut memohon maaf kepada semua pihak termasuk pihak media kerana mengadakan majlis pernikahan dan persandingan secara tertutup.

“Saya perlu menghormati permintaan kedua kedua-dua pihak. Tiada niat untuk menyembunyikan apa-apa. Saya harap semua memahami keputusan ini. Terima kasih kerana terus menyokong karier saya,” katanya.

Indah sebelum ini pernah mengikat tali pertunangan dengan lelaki dikenali sebagai R selama empat tahun namun ikatan itu putus pada April lalu.

Indah Ruhaila

Artikel Berikut

De Fam Tiada Rasa Cemburu

Artikel Lain