suria

Bella Nazari Dedah Nyaris Jadi Mangsa Pelakon Kasanova

Bella hampir menjadi mangsa penipuan aktor tersebut. Foto Instagram @bella.nazari

PENYANYI Bella Nazari mendedahkan hampir menjadi mangsa aktor kasanova yang dikaitkan dengan beberapa siri penipuan.

Bella berkata dia mengenali lelaki tersebut di laman Instagram dua minggu lalu dan masih berhubung melalui aplikasi Whatsapp sehingga hari ini.

"Dia tegur saya di Instagram dan mahu kenal lebih rapat. Dia kata dia juga seorang pelakon, jadi saya berani bertukar nombor dan bermula daripada situ kami berhubung melalui aplikasi Whatsapp.

"Boleh dikatakan, dia kerap menghubungi saya sehingga rasa ada sesuatu yang tak kena pada dia," katanya kepada mStar Online.

Artis Wanita Antara Mangsa Aktor Kasanova

Bella nyaris menjadi mangsa penipuan lelaki tersebut.

Bella diminta mengulas mengenai aktiviti penipuan membabitkan seorang aktor seperti yang dilaporkan oleh mStar Online pada Sabtu.

Menerusi laporan tersebut, kasanova berusia 30-an ini menabur janji-janji manis untuk mendapatkan wang daripada wanita yang berjaya masuk dalam perangkap selepas mereka terpedaya akan cinta palsunya itu.

Sementara itu, pemilik nama sebenar Mas Nabiella Nazari berkata aktor tersebut sering kali meluahkan niat untuk menjadikannya sebagai isteri.

"Kebanyakan topik yang dibualkan adalah mengenai perkahwinan dan turut meminta nombor telefon ibu untuk meminang saya.

Bella memuat naik status di Instagram ditujukan kepada lelaki kasanova itu.

"Saya difahamkan lelaki ini sebenarnya sudah berkahwin dan punya seorang anak namun cara hidupnya seperti orang bujang.

"Dia pandai 'memancing' gadis-gadis untuk mendapatkan duit. Bukan sahaja wanita, lelaki turut menjadi mangsa. Seorang teman rapatnya yang saya kenali turut tertipu," ceritanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Oh Cintaku ini memaklumkan dia kini sedang mengumpul bukti bagi memastikan lelaki tersebut tidak lagi menggunakan taktik yang sama untuk menipu orang luar.

Ujarnya lagi, kemewahan yang ditunjukkan lelaki ini membuatkan mangsa yakin dia merupakan individu yang mempunyai kedudukan dan pengaruh.

Lelaki tersebut menggunakan kemewahan dan ayat manis untuk memikat gadis-gadis dan golongan lelaki lembut.

"Mujurlah saya tak kena tipu lagi kerana menyedari taktik dia menipu orang ramai dan sebenarnya lelaki itu tidaklah kaya seperti yang digambarkan.

"Sekarang ini saya sedang mengumpulkan beberapa bukti dan akan mendedahkannya nanti supaya tiada lagi yang tertipu.

"Pesan saya kepada masyarakat di luar sana, jangan terpedaya dengan kemewahan palsu yang ditunjukkan dan terpengaruh dengan janji manis lelaki kasanova begini," katanya.

Dalam pada itu hasil semakan mStar Online mendapati, pelakon ini yang memilki kad keahlian Pesatuan Seniman Malaysia (Seniman) ini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dan peras ugut.

Antara laporan polis dibuat terhadapnya termasuk di Puchong, Serdang, Taman Melawati dan Tanjung Rambutan.

Bella Nazari

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain