suria

Tunggu Lagu Achey Di Radio Dulu

Peminat perlu membuat permintaan di radio untuk mendengar lagu terbaharu Achey berjudul, Yang Terindah. Foto: SAM THAM

PELAWAK Achey memaklumkan lagu terbaharunya berjudul Yang Terindah hanya akan di muat naik di laman YouTube setelah ia disiarkan di radio.

Achey, 31, berkata dia mahu peminat mendengar lagu tersebut di radio terlebih dahulu sebelum ia boleh dicari di platform digital.

"Buat masa ini kita tak muat naik di YouTube lagi kerana mahu lagu itu dimainkan di radio terlebih dahulu.

Achey terharu dengan sokongan peminat terhadap single terbaharunya.

"Oleh sebab itu, saya memerlukan bantuan peminat membuat permintaaan di radio dan jika sudah diputarkan di radio barulah kita upload versi penuh di laman sosial," katanya kepada mStar Online.

Achey atau nama sebenar Mohd Nasir Hamzah memberitahu dia mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan sebuah lagu khas untuk isterinya iaitu Nor Hasanah Yahaya bersempena ulang tahun kelahiran ke-27 pada April lalu.

Setelah melalui proses rakaman dan gubahan, pelakon drama Tuyul Ke London ini akui berpuas hati dengan hasilnya.

Lagu tersebut ditujukan khas buat isteri tersayang, Nor Hasanah Yahaya.

"Lagu ini mengisahkan perjalanan enam tahun kehidupan rumah tangga dilalui kami bersama.

"Lagu ini mempunyai maksud yang meluas dan bukan sekadar cinta kepada manusia semata-mata, malah merangkumi  banyak perkara," katanya.

Sementara itu, Achey menjelaskan bergelar penyampai radio bersama di stesen Era FM bukan jaminan bahawa lagu nyanyiannya akan diputarkan di stesen radio tersebut.

Ujarnya, dia juga perlu melalui proses yang sama seperti penyanyi lain.

"Walaupun saya bergelar deejay bersama di Era FM, jangan ingat lagu saya akan mendapat laluan mudah untuk dimainkan di tempat saya berkhidmat.

"Saya perlu melalui proses yang sama dan memerlukan permintaan pendengar sebelum lagu tersebut dimainkan di corong radio," katanya.

Achey merupakan penyampai selingan di slot Petang ERA bergandingan bersama penyampai Dina Nadzir dan Fad Bocey.

Achey

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain