suria

Hebat! Mira Filzah Jadi Model Di New York

Pemergian Mira Filzah Ke New York bagi mewakili pereka fesyen tempatan dengan bertindak sebagai model peragaan fesyen tersebut.

ASALNYA daripada seorang pelakon, Mira Filzah bakal bergelar model di pentas antarabangsa sempena Minggu Fesyen New York!

Murah rezeki pelakon ini yang akan menyertai New York Modest Couture Fashion Week pada 8 hingga 10 September depan di Amerika Syarikat.

Mira berkata, pemergiannya itu sebagai mewakili sebuah pereka fesyen tempatan sekali gus diberi peluang memperagakan pakaian.

"Alhamdulillah ada beberapa projek yang akan memerlukan saya ke luar negara dan paling saya teruja dapat mewakili sebuah jenama di pertunjukan fesyen di New York.

"Malah saya turut diberi peluang untuk memperagakan pakaian jenama yang tak dapat saya sebutkan ketika ini di pertunjukan fesyen itu," katanya kepada mStar Online.

Mira ditemui ketika hadir pada rumah terbuka Media Prima yang berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada Selasa.

Kata Mira, ini adalah kali pertama dia menjejak kaki ke Amerika Syarikat.

New York Modest Fashion Week itu akan diadakan di The Crowne Plaza, Times Square, New York.

Acara itu bakal mengetengahkan fesyen sederhana dan Muslimah dari seluruh dunia.

Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Mira berkata, dia akan berangkat ke New York pada akhir Ogos depan bagi membuat persiapan sebelum acara berlangsung.

Malah aktres berusia 24 tahun itu berkata, dia berharap penyertaannya itu dapat menambahkan kenalan selain mencari peluang lain dalam mengembangkan karier seninya di negara itu.

"Saya akan pergi awal untuk menjalani penggambaran baju-baju yang akan diperagakan selain mengambil peluang untuk berjalan-jalan memandangkan ini kali pertama saya ke Amerika Syarikat.

"Diharap penyertaan saya ini juga dapat memberi pendedahan selain mencari kenalan-kenalan baru dalam mengembangkan karier seni," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mira berkata dia kini sedang sibuk dengan penggambaran program Mahligai Cinta musim kedua yang akan disiarkan di TV3 tidak lama lagi.

Selain itu, dia juga baharu selesai menjalani penggambaran sebuah drama berjudul Dosa Perempuan bergandingan dengan Redza Rosli dan Nad Zainal.

Mira Filzah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain