suria

Enggan Dieksploitasi, Johan As'ari Bakal Ke Rusia

Johan As'ari mahu menjadi seorang pelakon berkaliber dan mampu membawa pelbagai watak. Foto LOW LAY PHON

TIADA siapa dapat menafikan pelakon Johan As'ari mempunyai bakat besar dalam bidang lakonan sehingga berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan nama-nama besar dalam dunia lakonan.

Namun siapa sangka pemuda berusia 31 tahun ini pernah merasakan dirinya dieksploitasi oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan dia banyak tersalah langkah dalam kariernya.

Mengenang kembali permulaannya sebagai pelakon, Johan berkata, dia sepatutnya lebih tegas terhadap pemilihan projek yang ditawarkan kepadanya namun sebaliknya dia cuba memenuhi setiap permintaan diberikan kepada.

"Masa mula-mula saya terlibat dalam bidang lakonan saya tidak mempunyai pengalaman dan ilmu jadi saya ikut sahaja apa diberikan orang kepada saya.

"Sehingga ada beberapa projek drama yang saya lakukan sebenarnya tidak sesuai dengan saya dan ia telah memberi impak negatif kepada nama saya.

Lakonan Johan dalam Juvana paling meninggalkan kesan.

"Ada ketikanya saya rasa seperti dieksploitasi oleh sesetengah pihak kerana pada satu tahap populariti saya sedang meningkat naik dan ada juga yang tidak ikhlas," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Johan, dia tidak pernah menyesal dengan kesilapan lalu sebaliknya menganggap ia sebagai pengajaran dalam mematangkannya.

"Kini saya lebih bijak menilai sebelum menerima sebarang tawaran, bukan ingin bersikap lupa diri tetapi demi menjaga nama dan kualiti saya sebagai pelakon.

"Apa yang berlaku sebenarnya ada hikmah dan saya belajar daripadanya," jelasnya.

Johan mahu ambil kursus lakonan di Russia.

Sementara itu, bagi memastikan dia terus cemerlang dalam karier seninya, Johan bercadang untuk mengikuti kursus jangka pendek di sebuah akademi lakonan di Rusia.

Kata Johan, hal itu dicadangkan oleh rakan baiknya iaitu Zahiril Adzim memandangkan kursus lakonan di negara itu antara yang terbaik.

"Insya-Allah ada perancangan untuk ambil kursus singkat dan kebetulan Zahiril mencadangkan saya pergi ke Rusia untuk belajar.

"Cuma sekarang saya perlu buat persediaan belajar bahasa Rusia sebelum berangkat ke sana dan tujuan saya ingin mendapatkan ilmu terbaik dalam meningkatkan mutu lakonan saya.

"Jika tiada halangan saya bercadang untuk pergi pada tahun ini juga," ujarnya.

Johan As'ari

Artikel Berikut

Artikel Lain