suria

“Saya Sambut Salam Mat Over Dengan Ikhlas” – David Teo

Mat Over dan David Teo bersalaman dihadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PETALING JAYA: Produser filem David Teo tidak berhasrat untuk memanjangkan isu dia ditampar oleh Mat Over kerana perkara itu sudah diselesaikan dengan baik.

Kata David, dia menyambut salam maaf Mat Over secara ikhlas dan hati terbuka kerana ia kejadian salah faham yang tidak sepatutnya terjadi.

"Apa yang berlaku langsung tidak terlintas dalam kepala saya namun ia sudah pun terjadi.

"Paling penting kami sama-sama sudah bersalaman dan menyelesaikan salah faham itu secara baik.

"Saya tidak bersikap biadab terhadap perdana menteri seperti didakwa kerana langsung tidak berkesempatan mengutarakan pandangan dan soalan pun kepadanya," katanya kepada mStar Online.

David diminta mengulas isu dia ditampar oleh Mat Over atau Sulaiman Yassin dalam program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN2015) yang diadakan di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu.

David dikatakan tidak berpuas hati cara Rosyam mengendalikan majlis sebagai moderator dan Mat Over tiba-tiba muncul lalu menamparnya kerana dianggap biadab kepada Najib.

David bersalaman dengan Najid manakala Mat Over memeluk Rosyam.

Mereka kemudiannya bermaaf-maafan atas kesilapan berkenaan.

Sementara itu, Mat Over memberitahu, dia berharap rakyat Malaysia tidak mengambil serius berhubung insiden itu kerana ia telah pun selesai secara baik.

Katanya, paling penting insiden itu tidak mendatangkan kecederaan kepada kedua-dua belah pihak dan mereka tidak menyimpan dendam.

"Ia mungkin boleh jadi di mana-mana sahaja dan diharap apa yang berlaku rakyat Malaysia tidak mengambil kisah kerana ia telah pun selesai.

"Ada hikmah juga insiden itu kerana saya dapat peluk perdana menteri dan bukannya senang hendak dapat peluang begitu... hahaha," ujarnya.

Dalam pada itu Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, isu David To ditampar oleh Mat Over atau Sulaiman Yassin itu hanyalah sekadar salah faham sahaja.

"Perkara ini hanya salah faham dan sesiapa yang kenal David pasti tahu dia memang bercakap dengan kuat tetapi bukan bererti dia marah.

"Tetapi perkara itu pun sudah berlaku dan masing-masing sudah bermaaf-maafan dan ia sudah pun diselesaikan.

"Paling penting sekarang kita teruskan hidup dan mengutamakan isu-isu terhadap industri seperti mana diketengahkan dalam acara itu," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Datuk Jurey Latiff Rosli pula berkata, insiden itu satu kerugian namun dia bersyukur ia telah pun diselesaikan dengan baik.

Malah kata Jurey, dia memohon maaf bagi pihak David selaku ahli persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan menyifatkan penerbit filem itu tidak berniat untuk bersikap biadab atau merosakkan majlis.

"Harapan saya sebagai presiden, perdana menteri memaafkan David dan Mat Over dan jangan serik untuk terus membantu industri kreatif negara.

"Sikap tenang dan mesra ditunjukkan beliau bukti perdana menteri kita berjiwa besar dan ikhlas dalam pertemuan tersebut.

"Apa yang berlaku tanpa dirancang dan ia tidak seharusnya berlaku kerana mencalarkan imej penggiat seni apabila isu itu diviralkan," katanya.

David Teo, Mat Over

Artikel Lain