suria

Ditanya Soal Kahwin Umpama Soalan ‘Bila Nak Mati’ - Tyzo

Tyzo mempunyai seorang anak angkat.

SOALAN bila nak kahwin ibarat bertanya ‘bila nak mati’.

Kenyataannya itulah yang dikongsi penyampai radio Suria iaitu Tyzo saat ditanya perancangannya menamatkan zaman bujang.

Tyzo yang dilihat agak berahsia mengenai umur sebelum ini mengakui ada sebab kenapa dia mempunyai perasaan sebegitu. 

"Jujur, saya agak sensitif bila orang bertanya pasal umur kerana dari situ saya pasti akan menyusul persoalan klise seperti, bila nak kahwin?

"Lebih menyakitkan kalau silap dengan cara pertanyaan, ia umpama anda sedang bertanya saya, "bila kamu nak mati"? 

"Justeru, adalah lebih baik tak payah bertanya kerana kita tahu soal jodoh ia adalah rahsia Allah dan siapa saya untuk mengulasnya,” ujar Tyzo.

Tambah Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zulqarnain, dia percaya perasaan sebegitu bukan sahaja sensitif pada dirinya malah mereka yang berusia terutama golongan wanita yang masih belum bertemu jodoh.

Tyzo dan rakan gandingannya iaitu Suraya.

Pun begitu dia percaya suatu hari nanti dia pasti akan berkahwin dan mempunyai teman hidup kerana hasrat ke arah itu sentiasa ada dalam dirinya.

Dalam perkembangan lain, Tyzo mengakui dia kini gembira dengan kehidupannya bersama seorang anak angkat lelaki bernama Noah Zachri yang kini berusia dua tahun.

"Saya ambil Noah sewaktu usianya berusia empat bulan daripada sebuah keluarga orang susah. Dua tahun bersama saya, dia saya tatang bagai minyak yang penuh.

"Sehingga hari ini, setiap kali ke tempat kerja mahupun bertugas di luar kawasan, saya sentiasa menghitung waktu untuk cepat pulang ingin bertemu dan bermain dengannya. 

“Mungkin itulah perasaan seorang ayah apabila berjauhan dengan anak dan saya sudah mula merasainya," kata Tyzo. 

Menyentuh perkembangan seni pula, Tyzo mengakui sikapnya yang agak pemalu dan kurang bergaul menjadi penyebab kenapa dirinya kurang mendapat publisiti dan tawaran kerja seni.

Tyzo kini mengelola segmen Suria Petang di Suria FM bersama penyampai Suraya. 

 

 

Tyzo

Artikel Lain