suria

Daphne Iking Kongsi Pengalaman Menyusu Anak Dalam Hutan

Kerjaya tidak membataskan Daphne Iking melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu. -foto IBRAHIM MOHTAR / The Star

PETALING JAYA: Komitmen terhadap bidang lakonan tidak menghalang pelakon Daphne Iking melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu termasuk terpaksa membawa anaknya ke lokasi pengambaran.

Menurut Daphne, 39, pengalaman menyusukan anak dalam hutan dengan suasana yang tidak selesa ternyata menguji kekuatan mentalnya sebagai pelakon.

"Ibu-ibu yang memberi susu badan kepada anak mereka pasti tahu cabarannya. Saya sendiri terasa amat susah untuk mengepam susu ketika di lokasi terutamanya di dalam hutan," katanya kepada mStar Online.

Daphne atau Dahlia Daphne Eleanor Mozes Iking ditemui pada majlis tayangan perdana filem Sindiket  lakonannya di MM Cineplexes, Damansara di sini, malam Isnin.

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya menyusukan anak kedua iaitu Iman Daniella, 4, ketika pengambaran filem Sindiket di Sabah pada bulan Jun 2013 itu Daphne berkata dia tidak menyangka mampu melakukannya walaupun berhadapan cabaran.

Salah satu babak daripada filem Sindiket lakonan Daphne dan Sharnaaz.

"Ini adalah pengalaman paling sukar kerana pada masa itu anak saya masih menyusu badan. Jadi suami saya ambil keputusan untuk bawa anak-anak bersama. Ibu juga ada bersama pada ketika itu untuk menjaga anak-anak saya.

"Ada kalanya anak saya terpaksa melalui perjalanan yang jauh untuk sampai ke lokasi pengambaran. Suami juga terpaksa cari peti sejuk untuk simpan susu yang telah dipam," ujar pelakon kelahiran Sabah ini.

Sementara itu berkongsi pengalamannya melakonkan watak utama sebagai Inspektor Sabrina bersama Sharnaaz Ahmad, Daphne mengakui pelakon itu banyak membantunya menghidupkan karektor sebagai anggota polis.

"Ini pertama kali kami bergandingan bersama. Pada mulanya memang ada rasa janggal dan kekok tambahan pula dengan raut wajahnya yang garang.

"Tapi bila kami mula mengenali, baru saya tahu dia sebenarnya mempunyai perwatakan yang baik dan profesional dalam kerja.

"Dia banyak beri tunjuk ajar dan aura positif yang ada padanya memudahkan kerja kami di set," katanya.

Filem Sindiket arahan Bade Azmi itu memaparkan isu pemerdagangan manusia di negara ini dan telah menjalani pengambaran di Pulau Sebatik, Indonesia dan Kundasang, Sabah.

Sindiket yang akan mula ditayangkan pada 6 April ini turut dibintangi Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Soo Wincci dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Daphne Iking

Artikel Lain