suria

Suria FM Perkukuhkan Platform Digital

Barisan penyampai Suria FM bergambar dengan Calvin Kan (lapan dari kanan) dan Datuk Dr Aminuddin Mohd Rouse (sembilan dari kanan) pada majlis penjenamaan semula portal Suria FM. FOTO: AZLINA ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memantapkan lagi pengaruh, stesen radio Suria FM memperkenalkan segmen baharu melalui platform digital dengan menghasilkan video-video berdurasi pendek secara atas talian.

Pengurus Kanan Pengurusan Penjenamaan dan Digital Suria FM, Shahida Azad Jamaluddin berkata, empat segmen itu ialah #Apaitucinta, Parodi Zulin dan Suria Jam.

"Seiring dengan konsep Segalanya Hiburan, matlamat kami untuk menjadi saluran digital kreatif melalui isi kandungan program yang asli dan berkualiti tinggi.

"Suria juga menerbitkan berita hiburan berdurasi kurang daripada 10 minit yang akan memberikan berita-berita hiburan terkini," ujarnya.

Inilah para penyampai Suria FM yang kacak dan manis-manis belaka. FOTO: Azlina Abdullah.

Shahida ditemui pada sidang media penjenamaan semula portal stesen itu di Bangsar, di sini pada Rabu.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Star Media Group, Calvin Kan, Pengerusi Star Radio Group, Datuk Dr Aminuddin Mohd Rouse dan Pengurus Besar Program Suria FM, Subarma Moktaruddin.

Laman web suria FM berwajah baharu boleh ditonton menerusi www.suria.my

Dalam pada itu Shahida berkata, selain dengan tontonan lebih 1 juta di platform digital, Suria FM juga bakal menerbitkan program asal sendiri yang merangkumi travelog, drama siri, dokumentari seram dan hiburan.

Suria FM juga katanya, bakal memulakan Siri Jelajah Suria 10 tahun pada bulan April ini bermula di Johor, Terengganu, Pulau Pinang, Ipoh dan Shah Alam.

"Jelajah Suria 10 tahun ini merupakan hadiah buat pendengar di mana mereka berpeluang bersemuka dan beramah mesra bersama penyampai-penyampai Suria dan barisan penyanyi popular. 

"Antara artis yang bakal terlibat ialah Akim & The Majistret, Siti Nordiana, Hazama, Tomok, Black Hanafiah, Amy Search, Datuk Hattan, Kaka Azraff, Zarul Husin, Sufian Suhaimi dan Khai Bahar," katanya.

Dalam pada itu, Suria FM juga dalam perancangan untuk mengadakan Konsert Suria 10 Tahun pada bulan November depan. 

Suria FM

Artikel Lain