suria

'Karnival Moh Ke Jengka 7' Bersama Artis Rai Pesara Felda

Elly Mazlein antara selebriti yang bakal memeriahkan Karnival Moh Ke Jengka 7 yang bakal diadakan pada 18 hingga 20 Mac ini.

PETALING JAYA: Lebih daripada 20 selebriti tempatan bakal terlibat pada Karnival Moh Ke Jengka 7, Pahang yang bakal diadakan selama tiga hari pada 18 hingga 20 Mac ini.

Pengurus projek berkenaan, Shahriza Mahmud berkata karnival itu diadakan bersempena majlis reunion bekas kakitangan Felda era 70-an bersama peneroka.

"Pada awalnya karnival itu diadakan secara sederhana sahaja bagi meraikan bekas kakitangan Felda di Jengka 7 tetapi saya fikir ini adalah alasan terbaik untuk acara itu diadakan secara besar-besaran.

"Karnival itu nanti bukan sahaja dapat meraikan bekas pekerja Felda tetapi ini peluang untuk semua peneroka dan penduduk kawasan sekeliling terlibat sama.

"Alhamdulillah acara ini juga mendapat sambutan dan kerjasama daripada barisan artis terkenal yang akan sama-sama berkampung di Jengka selama tiga hari untuk bersama peminat," katanya kepada mStar Online.

Antara barisan artis yang bakal menyertai karnival itu adalah Ana Raffali, Abon, Raja Azmi, Aznah Hamid, Elly Mazlein, Datuk Jalaluddin Hassan, Lisdawati, Encik Mimpi, Zahid dan ramai lagi.

Karnival tiga hari itu akan diadakan di Padang Awam Jengka 7.

Karnival itu akan diadakan di Padang Awam Jengka 7 bermula 8 pagi.

Dalam pada itu, Shahriza berkata, pelbagai aktiviti akan berlangsung pada karnival tiga hari itu termasuk persembahan artis, gerai jualan, karaoke terbuka, gotong-royong sekampung dan aktiviti sukaneka.

Kata Shahriza, walaupun ia diadakan di Jengka 7 namun pihaknya yakin dengan kehadiran ramai artis terkenal ia dapat menarik minat penduduk daripada kawasan sekitar untuk hadir pada acara itu.

"Selalunya jika ada sebarang karnival atau acara ia akan diadakan di pekan Jengka tetapi kali ini kami buat kelainan dengan mengadakan di Jengka 7.

"Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan yang pastinya akan menarik perhatian pengunjung pada karnival itu nanti.

"kehadiran barisan artis juga memberi tambah nilai dalam memberi penduduk di situ melihat dari dekat artis kesayangan mereka," ujarnya.

Tambah Shahriza lagi, beberapa aktiviti bagi menghargai kakitangan Felda yang diraikan juga turut diadakan dalam mengenang jasa mereka dalam pembangunan Felda di kawasan itu.

Sementara itu, Shahriza berkata, dia berharap karnival itu dapat menjadi acara tahunan dalam merancakkan aktiviti di kawasan Felda.

Karnival Moh Ke Jengka 7

Artikel Lain