suria

"Saya Tidak Sombong" - Ara Johari (AF2016)

Ara semakin popular dengan lagu Warkan Untukku.

PETALING JAYA: Penyanyi baharu Ara Johari (AF2016) menafikan dia bersikap sombong, sebaliknya kurang mengenali individu yang terlibat dalam industri seni.

Ara, 20, berkata, sebagai pendatang baharu dia masih lagi belajar untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan artis dan pihak media.

"Saya terkejut apabila dikatakan bersikap sombong dalam satu majlis baru-baru ini kerana saya bukan orang yang sedemikian.

"Saya minta maaf kerana mungkin tidak perasan dan tidak mengenali semua orang dalam industri sehingga ada yang menganggap saya sombong dan tidak tahu senyum," ujarnya kepada mStar Online.

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari mengulas tentang gosip di ruangan pojok akhbar mingguan Ahad lalu yang melaporkan dia sombong dan tidak mesra.

Selain itu, Ara berkata, dia akan lebih berhati-hari dan akan mengelak jika adanya gosip yang boleh menjejaskan namanya sebagai pendatang baharu.

Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Warkah Untukku ini turut berterima kasih dengan laporan tersebut yang mana sedikit sebanyak memberi publisiti kepada dirinya.

"Kalau boleh memang saya mahu jaga nama baik dan tidak terpalit dengan berita-berita negatif seperti ini. Tapi saya tidak marah mereka kerana gosip itu bermakna mereka sedar kewujudan saya dalam industri," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ara berkata, dia bersyukur lagu ciptaan Akim Ahmad iaitu Warkah Untukku  semakin mendapat perhatian masyarakat.

Dia juga berterima kasih kepada peminat yang memberi peluang kepadanya untuk hadir dalam dunia seni dan yang menyukai lagu berkenaan.

Ara Johari AF2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain