Wan Shades Tarik Balik Saman Terhadap Rotikaya - Hiburan | mStar

Wan Shades Tarik Balik Saman Terhadap Rotikaya

Wan (Shades) dalam satu sidang media bagi menjelaskan perasaan tidak puas hatinya terhadap sebuah blog hiburan yang dikatakan memfitnahnya baru-baru ini.
Wan Shades sebelum ini mendakwa difitnah blog Rotikaya.

KUALA LUMPUR: Penyanyi utama kumpulan 'Shades', Wan Shades menarik balik saman RM1 juta terhadap pemilik blog hiburan, Rotikaya.com berhubung artikel yang didakwa memfitnahnya.

Pada 31 Mac tahun lepas, Wan Shades atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Mohd Ali, 44, memfailkan saman fitnah terhadap Nor Hamzie Md Hambali, 32, dengan mendakwa pada 20 Februari 2012, Nor Hamzie telah menerbitkan sebuah artikel berunsur fitnah dalam blog itu yang mendakwa plantif merogol anak tirinya.

Peguam Mohamad Lokman Abd Rahman yang mewakili defendan (Nor Hamzie) memberitahu media bahawa plaintif (Mohamad Faizal) menarik balik saman itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula.

Katanya, Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membenarkan permohonan plaintif untuk menarik balik saman itu atas alasan ia melibatkan isu undang-undang.

Beliau berkata demikian selepas kes itu disebut di dalam kamar hakim dengan dihadiri peguam Nik Farhan Nik Mohd Tahir bertindak bagi pihak plaintif yang turut mengesahkan perkara itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Faizal mendakwa perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu jelas merujuk kepadanya dengan nama sebenar dan gambarnya juga telah dimuat naik dan diterbitkan dalam blog itu, yang boleh dibaca oleh pengguna Internet.

Penyanyi itu mendakwa perkataan itu membawa maksud bahawa beliau merupakan suspek utama yang merogol anak tirinya sedangkan beliau tidak pernah mempunyai anak tiri dan juga tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis atau didakwa di mahkamah berhubung kejadian rogol. - BERNAMA

Wan Shades , Rotikaya

Artikel Sebelum

"Saya Tidak Sombong" - Ara Johari (AF2016)

Artikel Berikut

Lebih Artikel

Yun Peng anak baik, dengar kata...