suria

Ary Malik Masih Tidak Sedar

Ary Malik
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Ary Malik masih lagi tidak sedarkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Ampang dekat sini akibat kanser ovari yang kini pada tahap empat.

Suaminya Shahrul Nizam Shaharuddin, 46, berkata, perkembangan keadaan kesihatan isterinya itu akan diketahui esok (Isnin).

"Setakat ini keadaan dia masih lagi sama iaitu tidak sedarkan diri dan masih berada di wad yang sama.

"Saya belum ada perkembangan terbaharu kerana esok baru dapat berjumpa doktor untuk perkembangan seterusnya," ujarnya kepada mStar Online.

Dia dihubungi bagi menjelaskan tentang perkembangan isterinya yang kini kritikal akibat penyakit berkenaan.

Tambahnya, beberapa rakan artis hadir bagi memberi sokongan seperti M.Nasir, Aidit Alfian dan Ad Samad.

Ary dimasukkan ke hospital sejak 18 Februari lalu selepas keadaannya semakin lemah namun dia mula tidak sedarkan diri sejak lima hari lalu.

Shahrul Nizam mendedahkan, Ary dikesan menghadapi kanser tersebut sejak Mei lalu selepas menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Mizan (Wangsa Maju).

Susulan itu sejak Jun tahun lalu Ary terpaksa menjalani kimoterapi bagi memulihkan kansernya itu sehinggalah terpaksa dibawa ke Hospital Ampang selepas keadaannya semakin kritikal.

Ujarnya, doktor turut menjangkakan tumor akibat kanser yang dihidapi Ary itu dipercayai sudah merebak ke kepala.

Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik, 46, terkenal pada era 1990-an dan turut aktif sebagai pengacara televisyen.

Dia juga pernah menyertai rancangan realiti iaitu MasterChef Malaysia terbitan Astro pada tahun 2012 dan layak sehingga ke peringkat akhir.

Hasil perkahwinannya dengan Shahrul Nizam atau lebih dikenali sebagai Shahrul Bromo, mereka memiliki tiga orang anak iaitu, Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik yang berusia 11 tahun.
Ary Malik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain