suria

Azharina Tidak Lagi Ke Kelab Malam, Trauma Kahwin Lain

Azharina Azhar mengakui masih trauma untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya. Foto AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Penyanyi Azharina Azhar masih trauma untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki untuk dijadikan teman hidup selepas dia bercerai kira-kira sembilan tahun lalu.

Azharina, 31, berkata, kesibukan menguruskan empat perniagaan miliknya di samping membesarkan anak angkatnya iaitu Rahmat Azaharin Aziz Mohamad Faizal yang berusia dua tahun membuatkan dia tidak terfikir untuk berkahwin lain.

"Selepas bercerai, saya betul-betul tinggalkan dunia sosial saya, tidak ke kelab malam apalagi nak buat temujanji dengan mana-mana lelaki kerana mungkin tak ramai lelaki berani nak dekat.

Azharina.

"Cukup saya katakan saya masih lagi trauma dengan perkahwinan lalu dan sekarang waktunya saya fokus pada empayar perniagaan saya dan anak yang semakin membesar,” katanya kepada mStar Online.

Azharina ditemui pada  sidang media memperkenalkan peserta Gegar Vaganza musim ketiga di Lol@livehouse Kuala Lumpur, di sini Rabu.

Dalam pada itu, Azaharina turut meluahkan rasa syukur kerana bapanya yang sebelum koma kerana komplikasi beberapa penyakit kronik kini semakin stabil.

"Ayah saya ada hidap penyakit paru-paru berair, buah pinggang dan jantung yang agak membimbangkan dan perkara ini agak membimbangkan saya dan keluarga namun Alhamdulillah keadaannya kembali stabil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azharina yang merupakan antara 12 peserta Gegar Vaganza musim ketiga mengakui agak teruja untuk menyertai proram realiti itu.

"Agak lama tidak membuat persembahan di pentas besar dan apa yang saya bimbangkan adalah faktor kesihatan kerana suara saya akan terganggu bila kurang sihat,” katanya.

Berkongsi tentang kehidupan pula, dia yang mesra dipanggil Nina akui bahagia dengan kehidupan bersama anaknya.

Malah dia turut berkongsi kegembiraan apabila anak lelakinya itu turut mendapat hadiah sebuah kereta pelbagai guna atau MPV oleh seorang kenalan sempena ulang tahun kelahiran kedua anaknya itu.

"Kereta tersebut sudah ada di rumah dan dihantar oleh kawan saya pada pukul 4 pagi dan ini satu kejutan buat saya kerana pada umur dua tahun, anak saya sudah menerima hadiah seperti itu," katanya.

Azharina

Artikel Lain