suria

Penyanyi Saida Selamat Bernikah Dengan Ahli Perniagaan

Saida bersama suaminya Hafiizh Che Mat. Foto Ihsan ARTIXMOTION BY KUAIN IBRAHIM

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Norsaida Tarudin selamat diijabkabulkan dengan seorang ahli perniagaan dalam satu majlis ringkas di masjid Al Muklisin, Alam Damai, Cheras di sini kira-kira pukul 2.40 petang Rabu.

Dengan sekali lafaz, Saida, 40, sah bergelar isteri kepada seorang duda iaitu Hafiizh Che Mat, 36, yang bekerja dalam bidang pengurusan acara dan produksi.

Pihak lelaki menyerahkan mas kahwin iaitu wang tunai RM80 manakala hantaran sebanyak RM10,000.

Pada majlis akad nikah berkenaan, pihak lelaki turut membawa tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang oleh pengantin perempuan.

Pasangan berkenaan mengenakan pakaian tajaan butik KS Entourage milik Khairul Shahril.

Dalam pada itu Saida menerusi kenyataanya berkata, majlis berkenaan diadakan secara sederhana tanpa kehadiran pihak media demi menjaga hati pihak-pihak tertentu.

"Memang terlalu ramai pihak yang perlu dijaga perasaan mereka apatahlagi ia perkahwinan kedua saya," katanya yang mengharapkan doa semua pihak terhadap perkahwinan mereka.

Saida dan pasangannya mula mengenali sejak empat tahun lalu.

Adik penyanyi itu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin turut hadir pada majlis berkenaan.

Saida sebelum ini pernah berkahwin dengan  Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996 dan bercerai pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Siti Nuruunnyssa, 18, Anas, 16, Khalid, 12, dan Siti Nurul Mashitah, 9.

Hafiizh pula mempunyai dua orang anak hasil perkahwinanya sebelum ini.

Siti Norsaida

Artikel Lain