suria

Menteri Putuskan Anugerah Filem Terbaik FFM28 Untuk Semua

Antara adegan dalam filem Jagat, sebuah filem bukan berbahasa Malaysia yang turut dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia ke 28.
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia memutuskan penyertaan bagi Anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28) pada September depan dibuka kepada semua penggiat industri filem di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kementerian itu turut mewujudkan kategori baharu Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pada FFM28 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak termasuk penggiat industri filem dan orang awam.

"Kita sentiasa mendengar keluhan rakyat terutama penggiat filem dan pada masa yang sama kita juga tidak mengabaikan tanggungjawab memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan," kata Salleh dalam kenyataan di sini,  pada Rabu.

SILA KLIK: Menteri Diminta Campur Tangan Selesaikan Kemelut FFM28

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam meminta Finas supaya tidak memisahkan kategori filem yang dipertandingkan pada FFM28.

Isu itu timbul berikutan keputusan Finas dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM)  mewujudkan kategori filem dalam Bahasa Malaysia dan bukan dalam Bahasa Malaysia untuk dipertandingkan pada festival kali ini.

Filem 'Ola Bola' dan 'Jagat' yang dicalonkan bagi kategori filem terbaik  bukan dalam bahasa Malaysia telah menimbulkan bantahan sebilangan penggiat filem tempatan. - BERNAMA
FFM28, Festival Filem Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain