suria

Yusof Haslam Merajuk Dituduh Berkepentingan Dalam FFM28

Datuk Yusof Haslam

KUALA LUMPUR: Suasana program dialog Tanya Finas yang diadakan pada malam Isnin bertukar panas apabila Presiden, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam merajuk dan berhasrat untuk tidak lagi terlibat dalam penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) pada masa depan.

Keputusan itu dibuat selepas berasa terkilan dengan tuduhan kononnya beliau menggunakan kepentingan peribadi bagi membolehkan dua filem terbitan syarikatnya iaitu Skop Productions iaitu Munafik dan Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dicalonkan pada FFM28 yang bakal berlangsung pada 3 September depan.

"Jika kedudukan saya kononnya ada kepentingan peribadi dan perkara ini menjadi pertikaian, sudah tiba masanya PFM cuci tangan dan menyerahkan sepenuhnya penganjuran festival filem itu kepada Finas.

"Saya sendiri pun sudah penat dengan pelbagai tuduhan dilemparkan walaupun ia sama sekali tidak benar malah barisan juri pun saya tidak tahu siapa," katanya.

Penganjuran dialog itu diadakan di Pitching Centre, KL Sentral di sini.

Pada sesi tersebut, Yusof yang hadir sebagai panel bersama Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Ekskutif PFM, Pansha menerima asakan daripada penggiat industri yang mempersoalkan persatuan itu dalam penganjuran FFM28 yang dilihat berat sebelah apabila mengasingkan filem bukan di dalam bahasa Malaysia dalam kategori berbeza.

Antara yang hadir dalam program Tanya Finas.
Pada pertemuan itu juga antara cadangan dilontarkan ialah meminta Finas dan PFM tidak mengasingkan pencalonan di dalam FFM mengikut bahasa sesuatu filem dan mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul baru-baru ini.

Malah ada mencadangkan agar Finas melantik badan bebas pada penganjuran festival itu pada masa depan agar tidak lagi timbul konflik dan persoalan apabila Finas atau persatuan berkepentingan menganjurkan FFM.

Sementara itu, Kamil ketika ditemui sejurus selepas selesai perjumpaan tersebut berkata, pihaknya yakin tiada sebarang isu kepentingan peribadi seperti mana ditimbulkan oleh sesetengah pihak terhadap Yusof.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan perjumpaan itu sebagai berjaya selain Finas terbuka dengan setiap pandangan yang diberikan oleh pemain industri yang hadir pada majlis tersebut.

Malah ujar beliau, pihaknya juga terbuka terhadap sebarang perubahan hasil daripada input dan pandangan diterima berhubung FFM28 namun ia memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Saya tidak menolak sekiranya terdapat sebarang perubahan hasil daripada perjumpaan pada malam ini namun ia memerlukan penelitian mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Penganjuran FFM28 menjadi kontroversi apabila isu pengasingan karya berasaskan bahasa diperkenalkan.

Filem-filem seperti OlaBola, Jagat dan The Kid From The Big Apple tidak dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Sebaliknya, filem-filem popular itu dicalonkan dalam kategori bukan Bahasa Malaysia untuk Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Hal itu membuatkan beberapa persatuan seni antaranya Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyatakan hasrat memboikot acara itu.

Turut berbuat demikian ialah pelakon Afdlin Shauki.

Untuk rekod, PFM adalah persatuan seni yang tidak bergabung dalam Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) manakala Yusof Haslam juga selain menjadi Presiden PFM ialah Timbalan Pengerusi Finas.
Finas, FFM28, Festival Filem, Yusof Haslam

Artikel Lain