suria

Bapa Fazley Yaakob Meninggal Dunia

Gambar kenangan Fazley bersama bapanya di sebuah majlis di PWTC.

PETALING JAYA: Bapa kepada penyanyi Datuk Fazley iaitu Datuk Yaakob Mohammad, 67, meninggal dunia pada pukul 2.02 pagi Isnin di Hospital Pakar KPJ Damansara, di sini akibat komplikasi paru-paru.

Fazley berkata, bapanya mengalami komplikasi paru-paru sejak setahun lepas  dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada tiga hari lepas apabila mengadu menghadapi masalah pernafasan.

"Ketika dimasukkan ke ICU, keadaannya masih stabil, namun kira-kira 11 malam semalam (Ahad) keadaan kesihatannya mula merosot," katanya.

Fazley turut berkongsi detik-detik terakhir bersama bapanya yangberpesan supaya beliau menjaga ibunya, Umi Kalsom, 64, adik beradiknya serta tujuh orang cucunya.

"Bapa saya melihat ibu saya sebagai permaisuri hidupnya dan saya sebagai anak yang sulung perlu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada kira-kira 10.30 pagi ini, selepas disembahyangkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerja BN, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Setar dan Ketua Biro Kebajikan dan Kemiskinan UMNO Alor Setar, selain menjawat jawatan Setiausaha Kerja UMNO bermula 1988.

Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerja BN bermula 1991 hingga September 2009.

Dalam pada itu, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada 2002.

Antara jawatan dalam perkhidmatan awam yang pernah dipegang oleh Allahyarham ialah Penolong Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pengarah Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan WilayahPersekutuan.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Umi Kalsom Abdul Latib dan empat anak serta tujuh orang cucu. Majlis tahlil akan diadakan pada malam Isnin selepas solat fardu Isyak di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Fazley Yaakob

Artikel Berikut

Artikel Lain