suria

Syarat Skim Wajib Tayang Filem Tempatan Bakal Dirombak

Rombakan Syarat Wajib Tayang oleh Finas bakal membantu memperhebatkan lagi produk filem tempatan. Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bakal merombak semula syarat-syarat Skim Wajib Tayang yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai 2016.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman berkata, perkara tersebut dibuat bagi menjaga kualiti filem yang ditayangkan di pawagam sekali gus dapat menarik balik  kepercayaan penonton terhadap karya-karya tempatan yang selama ni dipandang negatif.

"Skim Wajib Tayang sudah wujud sejak tahun 1991 dan bermula 1 Julai 2016, syarat-syaratnya akan diubah.

"Finas akan melantik dua komuniti yang terdiri daripada golongan profesional dan akademik di mana sesebuah filem itu akan ditapis dahulu tahap kualitinya menerusi komuniti A.

"Sekiranya tidak memuaskan hati, ia akan diberi kepada komuniti B pula dan jika di tahap piawaian, syarikat penerbitan filem itu akan mendapatkan Skim Wajib Tayang," katanya pada sidang media Skim Wajib Tayang di sini, Selasa.

Datuk Kamil Othman

Skim Wajib Tayang diperkenalkan adalah ber bertujuan untuk menerima dan mempertimbangkan mana-mana filem tempatan atau filem usahasama untuk ditayangkan secara wajib didewan wayang gambar oleh pemamer.

Bagaimanapun, tambah Kamil, sekiranya gagal, pihak penerbit berkenaan boleh membuat rayuan.

Dalam pada itu, penerbit berkenaan juga akan diberi cadangan untuk mengubah karya filem mereka dalam bentuk video untuk dijual kepada stesen televisyen.

"Bagi karya yang gagal mendapat Skim Wajib Tayang, mereka akan diberi cadangan sama ada ubah format filem kepada video, jadikan filem itu kepada DVD atau Blueray ataupun eksport karya itu ke luar negara.

"Mana tahu, penerbit yang gagal itu mungkin berjaya di luar negara.

"Keputusan pengubahan Skim Wajib Tayang ini bukan dibuat Finas sahaja tetapi pihak lain seperti Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan beberapa pihak lain," ujarnya.

Sementara itu, Finas turut memberi insentif kepada produksi luar negara yang menjalani kerja-kerja penerbitan filem menerusi Filming In Malaysia Insentive (FIMI).

Kamil berkata, kebanyakan penggiat seni tempatan tidak bersetuju dengan insentif yang diberikan kepada pihak luar namun terdapat kebaikan yang diperoleh daripada industri tempatan secara tidak langsung.

"FIMI adalah sebuah insentif yang diberi kepada produksi luar negara yang menjalani pembikinan filem di negara ini.

"Mereka akan memberikan resit setiap pembelian dan pelaburan yang dibuat di negara ini  kepada Finas dan pihak kami akan menggunakan juru audit bertauliah untuk audit resit tersebut.

"Bagi syarikat produksi yang layak, mereka akan mendapat pulangan semula sebanyak 30 peratus," ujarnya.

Menerusi FIMI, ia dilihat menguntungkan penggiat seni tempatan di mana mereka akan diberi peluang bekerjasama dengan mereka.

"Finas akan memberi syarat-syarat di mana produksi luar negara perlu melaburkan wang mereka untuk perkhidmatan tenaga kerja tempatan.

"Perkara ini secara tidak langsung memberi peluang kepada lebih 1,000 pekerja tempatan berkerja dengan mereka dan pada masa sama pekerja tempatan akan mendapat ilmu dan pengalaman bekerja dengan produksi luar," katanya.
Finas, Kamil Othman

Artikel Lain