suria

"Tiada Niat Buruk Sorok Berita Pertunangan" - Tauke

Tauke dan Nadia mengikat tali pertunangan pada Ahad lalu dan pasangan itu dijangka disatukan sebagai suami isteri pada Disember tahun hadapan.
PETALING JAYA: Pelawak Tauke tidak mempunyai sebarang niat tidak baik untuk menyembunyikan berita pertunangannya dengan model dikenali sebagai Nadia yang berlangsung pada Ahad lalu.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, sebaliknya enggan menwar-warkan perkara itu kerana ia bersifat peribadi dan hanya diadakan secara kecil-kecilan.

"Saya sebenarnya sudah lama merancang untuk melangsungkan pertunangan ini tetapi baru sekarang dapat dilaksanakan kerana sibuk dengan kerjaya.

"Tiada niat pun hendak sorok tetapi memang saya tidak war-warkan kepada umum kerana bimbang ia tidak jadi selain majlis berkenaan diadakan dengan keluarga terdekat sahaja," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah Tauke, majlis berkenaan berlangsung di kampung halaman tunangnya di Dungun, Terengganu.

Pada majlis berkenaan, Tauke turut memberi tujuh dulang hantaran termasuk sebentuk cincin manakala dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Dalam pada itu, Tauke berkata, mengikut perancangan dia dan Nadia bakal disatukan sebagai suami-isteri pada Disember tahun hadapan.

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan pada majlis pertunangan itu namun berharap dapat disatukan segera dengan wanita berkenaan.

"Bertunang selama setahun tetapi lagi cepat disatukan lebih baik. Insya-Allah jika sudah ada tarikh saya akan beritahu," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai keistimewaan Nadia, Tauke berkata, dia sudah mengenali tunangnya itu selama empat tahun dan sudah tiba masanya mereka berkahwin.

Jelas Tauke, selain sikap penyabar, Nadia sangat memahami kerjayanya sebagai artis membuatkan dia selesa bersama wanita itu.

"Sepanjang empat tahun berkenalan kami mengenali personaliti masing-masing dan pada saya dia memahami saya daripada pelbagai segi.

"Insya-Allah dia adalah jodoh saya dan berharap dapat disatukan dengannya sebagai peneman hidup sehingga akhir hayat," ujarnya.
Tauke

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain