suria

Pembikinan Filem 'Biasan' Hanya Guna Empat Kru Produksi

Pengarah filem 'Biasan', Sandosh Kesavan memberitahu hanya empat kru menjayakan filem itu. - FOTO: ART CHEN.

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Biasan iaitu Sandosh Kesavan berkata pembikinan karyanya itu hanya menggunakan khidmat empat orang kru produksi termasuk dirinya sendiri.

Sandosh menyifatkan perkara itu jarang dilakukan oleh mana-mana penerbitan filem apatah lagi kos yang dikeluarkan hanya RM500,000.

"Selain saya sebagai pengarah, hanya penolong pengarah, penerbit eksekutif dan seorang jurukamera sahaja yang terlibat di belakang tabir. Tiada jurusolek mahupun juruaudio dan juru cahaya dalam pembikinan filem ini.

"Ia disebabkan kekangan bajet dan pada masa sama saya sudah 'gian' mahu berkarya selepas sembilan tahun mengarah filem Gong," katanya kepada mStar Online.

Sebahagian daripada pelakon dan kru yang terlibat dalam filem Biasan. -  FOTO: ART CHEN

Sandosh ditemui pada majlis pra-tonton filem Biasan di Pitching Center, Platinum Sentral di sini pada Rabu.

Tambah Sandosh, walaupun pembikinan filem tersebut banyak kekurangan terutamanya daripada segi teknik pencahayaan, namun  dia akan memastikan jalan ceritanya membuatkan para penonton mudah terkesan.

"Cerita ini berkisarkan seorang pelajar kolej yang kecewa dengan kekasihnya yang bersikap curang. Keadaan itu membuatkan lelaki berkenaan begitu tertekan sehingga jiwanya kacau.

"Plot ceritanya adalah kisah benar yang pernah dilalui oleh salah seorang pelajar di sebuah universiti. Jadi saya percaya filem ini begitu dekat dengan penonton kerana masalah kecewa dengan cinta dilalui ramai orang.

"Saya harap filem ini diterima ramai kerana penyampaiannya mudah untuk difahami," tuturnya.

Filem Biasan yang akan ditayangkan pada 12 November ini dibintangi oleh Mas Khan, Lana Nodin, Datuk Jalaludin Hassan dan Emma Akma.

Biasan, Sandosh Kesavan

Artikel Lain