suria

Nama Kian Tenggelam, Firman Yakin Ada Ruang Berjaya

Firman Bansir yakin boleh terus mencipta nama. Foto: SHAARI CHE MAT
KUALA LUMPUR: Juara program Akademi Fantasia (AF) 2014, Firman Bansir menaruh keyakinan masih ada ruang untuknya membina karier dalam bidang seni biarpun namanya semakin tenggelam.

Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir, 26, berkata, dia masih belum berputus asa dan percaya usaha berterusan akan membuka ruang kepadanya suatu hari nanti.

"Sudah enam tahun saya berusaha untuk capai ke tahap sekarang dan saya masih kena usaha untuk perbaiki diri.

"Saya percaya pada rezeki dan Insya-Allah dengan usaha pasti akan ada bahagian saya nanti," katanya kepada mStar Online.

Firman ditemui pada majlis pelancaran album pertamanya berjudul Kau Yang Satu di Hard Rock Cafe di sini, Selasa.

Album berkenaan menampilkan enam buah lagi iaitu Paling, Kau Yang Satu, Bohong, Engkau Yang Tahu, Kekasih Hati dan Di Pintumu.

Firman Bansir semakin tenggelam selepas menjuarai Akademi Fantasia 2014.

Dalam pada itu, Firman berkata, dia juga tidak berasa tergugat dengan kemunculan juara baharu AF 2015 iaitu Sufi Rashid dan menganggap ia kitaran biasa bagi program realiti.

Malah kata Firman, dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada strategi Astro Talents dalam mempromosikan album dan kariernya.

"Saya sentiasa berfikiran positif dengan apa yang berlaku dan tiada sebab mengapa saya perlu berasa tergugat atau terpinggir dengan kehadiran Sufi.

"Malah saya yakin setiap orang ada ruang dalam industri dan pihak pengurusan melakukan yang terbaik untuk semua artis bawah naungan mereka," jelasnya.

Bercakap mengenai kemunculan album pertama, Firman teruja kerana ia turut menampilkan lagu ciptaannya berjudul Kau Yang Satu yang didedikasikan kepada ibunya, Painah Tambanan (57 tahun).

Malah Firman berharap album itu nanti dapat menjadi titik tolak kepadanya untuk mengukuhkan lagi nama dalam industri muzik tempatan.

"Saya cipta lagu tersebut semasa berada dalam AF lagi dan ia berkisar mengenai pengorbanan ibu saya.

"Apabila Kau Yang Satu dipilih untuk album berkenaan saya cukup gembira kerana ia benar-benar istimewa," ujarnya.

Tambah Firman, dia juga bertuah kerana dapat berkolaborasi dengan komposer terkenal seperti Datuk M. Nasir, Edry Abdul Halim dan Audi Mok.

"Saya mengagumi karya-karya mereka dan seperti tidak percaya berada di dalam studio untuk merakamkan lagu bersama mereka," katanya.

Artikel Lain