suria

Pengarah Filem The Journey Hasilkan Filem Baharu, Ola Bola

Chiu Keng Guan. Foto ROHAIZAT MD DARUS

PETALING JAYA: Pengarah filem 'box-office' The Journey, Chiu Keng Guan kembali mempertaruhkan karyanya bertemakan sukan bola sepak.

Chiu berkata, filem yang diberi tajuk Ola Bola itu mengambil inspirasi daripada kegemilangan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

“Apabila saya memulakan karier dalam bidang perfileman, saya bertekad suatu hari nanti pasti akan menghasilkan filem mengenai bola sepak kerana amat meminati sukan ini.

“Sebenarnya saya ingin membawa semula kenangan indah pemain bola sepak negara suatu ketika dulu dan memberi penonton merasai kehebatan pasukan Malaysia,” katanya kepada mStar Online.

Chiu ditemui sewaktu pengambaran filem Ola Bola yang diadakan di Stadium Merdeka pada Khamis. Selain itu, Chiu juga mengakui filem yang bertemakan sukan bola sepak  sukar dihasilkan kerana melibatkan masa, lokasi dan memerlukan pelakon yang betul-betul mahir bermain.

Pelakon baharu dari kiri, Chee Jun Cherng dan Muhd Luqman Hafidz.

“Filem ini mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan kerana kami perlu membuat kajian terperinci dengan melakukan temu bual, melihat foto asal dan menyediakan pakaian yang mengikut era 80-an.

“Pelakon juga perlu mahir bermain bola sepak kerana saya mahu mereka beraksi di padang secara realistik dan tidak berpura-pura serta tidak perlu melakonkan babak yang sama berulang kali,” katanya.

Malah Chiu turut menjanjikan Ola Bola merupakan filem yang lebih baik daripada The Journey kerana kualiti dan skil yang dihasilkan amat berbeza.

Tambahnya, filem ini akan menggunakan 60 peratus bahasa kebangsaan dan selebihnya merangkumi pelbagai bahasa seperti bahasa Tamil dan Mandarin.

Ola Bola turut menampilkan Bront Palarae sebagai komentator bola sepak seperti Hasbullah Awang bersama pelakon baharu seperti Muhd Luqman Hafidz, Chee Jun Cherng dan Low Sin Mun.

Ola Bola

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain