suria

Jenazah Julie Dahlan Selamat Dikebumikan

Kira-kira lebih 200 ahli keluarga, kenalan serta rakan artis dan media hadir pada upacara pengebumian itu.

ULU KLANG: Jenazah penerbit filem, Julie Dahlan, atau nama sebenarnya Junaidah Dahlan, 63, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, Ulu Klang, dekat sini, pada pukul 10.30 pagi Jumaat.

Allahyarham sebelum itu dimandikan di Hospital Ampang dan dibawa ke Masjid Kampung Klang Gate Baru, di sini kira-kira pukul 7.30 pagi bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.

Kemudian Allahyarham disembahyangkan dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira pukul 10 pagi.

Kira-kira lebih 200 ahli keluarga, kenalan serta rakan artis dan media hadir pada upacara pengebumian itu.

Julie Dahlan

Antara rakan artis yang hadir termasuklah Datuk Hattan, Datuk Khatijah Ibrahim, Azwan Ali, Nasha Aziz, Dayang Sulu dan Ziela Jalil.

Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Norhaslinda, 44, Muhammad Hairi, 39, dan Siti Hani Nur Zara, 34, bersama tiga cucu.


Pada malam Khamis, Allahyarham telah meninggal dunia di Hospital Ampang, akibat penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

Terdahulu, Allahyarham pernah menderita penyakit buah pinggang, kencing manis serta darah tinggi, dan terpaksa menampung kos rawatan hemodialisis yang agak tinggi.

Beliau pernah menerbitkan filem yang menjadi fenomena antaranya seperti Wira Angkasa (1987), Harry Boy (1991), Driving School (1990) dan terakhir Cinta Metropolitan (1996).

Malah Allahyarham turut popular menerusi lakonannya dalam filem Si Badol (1979), Idola (2002) dan Cicakman 2: Planet Hitam (2008).
Julie Dahlan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain