suria

Pekin Tidak Yakin Kebolehan Jehan Miskin Mengarah

Pekin Ibrahim berasa kurang yakin dengan kebolehan Jehan mengarah Seludup. Foto SHAARI CHEMAT

PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim mengakui pernah memandang rendah terhadap kebolehan rakan seperjuangannya, Jehan Miskin dalam mengarah sesebuah karya.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 33, berkata, apabila ditawarkan berlakon drama Seludup arahan Jehan, dia kurang yakin dan agak keberatan mahu menerima tawaran berkenaan.

"Jehan telah menghubungi saya dan bercakap tentang jalan cerita Seludup dan menawarkan untuk saya terlibat dengan projeknya itu.

"Ketika kami berbual, hati saya sempat bertanya boleh ke dia mengarah? Maklumlah kita kenal dia sebagai pelakon dan tiba-tiba nak mengarah pula.

"Dan Jehan pula macam tahu apa yang saya fikirkan. Dia terus nyatakan beberapa hasil pengarahannya menerusi drama What If. Bila tonton drama tersebut, sangkaan saya meleset," katanya.

Pekin ditemui pada sidang media majlis pra-tonton drama Seludup di TGV Cinema, One Utama, di sini pada petang Khamis.

Dalam pada itu tambah Pekin, selepas hampir tiga bulan terlibat dengan penggambaran Seludup, dia yakin Jehan mampu pergi jauh dalam bidang pengarahan selepas melihat cara kerjanya yang sangat efisyen.

Sementara itu, mengenai drama Seludup, ia merupakan karya terbitan dan arahan kedua Jehan selepas drama What If.

Kata Jehan, penglibatan produksi bagi menjayakan drama tersebut lebih daripada 100 kru serta pelakon dan bersyukur kerana mampu mengawal keadaan penggambaran dengan baik.

"Orang kata bila bekerja dengan ramai orang, pastinya terdapat perselisihan faham dan agak sukar untuk mengendalikan kesemua mereka di bawah satu arahan.

"Tetapi lain pula buat produksi saya, mereka semuanya profesional dan ia telah memudahkan lagi kerja saya menghasilkan Seludup.

"Saya harap drama yang mengisahkan tentang pemerdagangan haram ini dapat memberi hiburan dan mesej berguna kepada penonton," ujarnya.

Antara pelakon yang akan terlibat dalam Seludup termasuklah Tiz Zaqyah, Syafie Naswip, Raja Ilya, Namron serta Jehan sendiri.

Seludup bakal disiarkan bermula 4 Disember depan, setiap Khamis, pukul 9.30 malam di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

Pekin Ibrahim, Seludup

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain