suria

Switch Off'14: Stesen TV Swasta Masih Belum Beri Respons

Jurey Latiff

PETALING JAYA: Pengerusi Switch Off'14, Jurey Latiff Rosli berasa terkilan apabila pihak stesen televisyen swasta tidak memberi sebarang respons menunjukkan sokongan terhadap isu yang dibangkitkan dalam kempen itu mengenai masalah industri televisyen.

Jurey berkata, dia berasa pelik apabila stesen-stesen berkenaan mengambil langkah berdiam diri sedangkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah bersetuju dengan cadangan-cadangan yang diberikan menerusi memorandum kempen tersebut.

"Sehingga ke hari ini pihak stesen televisyen swasta tidak memberi apa-apa respons dengan kempen ini.

"Tak mungkin mereka tidak tahu kerana kempen tersebut telah berlangsung selama sebulan. Apa-apapun kami akan menanti respons mereka sehingga minggu depan.

"Jika masih lagi senyap, kami akan mengambil pendekatan lain pula untuk berjumpa dengan mereka," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu.

Pada Isnin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau tertarik dengan cadangan agar kerajaan menggubal akta baharu itu seperti disarankan menerusi Switch Off'14.

Beliau berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menyediakan draf Akta Industri Kandungan Kreatif untuk memajukan industri berkenaan selain menubuhkan pusat sehenti yang dikenali sebagai 'Content Malaysia' yang akan mengumpulkan idea-idea baharu berhubung industri kreatif.

Antara 11 permintaan yang terkandung dalam resolusi kempen berkenaan termasuklah mewujudkan Akta Industri Kandungan Kreatif, menaikkan kadar harga dan menyelaraskan belian kandungan di stesen-stesen televisyen, pengagihan slot televisyen yang lebih adil dengan menekankan 70 peratus kandungan tempatan dan Penguatkuasaan polisi Made In Malaysia (MIM) dan Puducitra.

Gabungan kempen berkenaan terdiri daripada 10 persatuan penggiat seni tempatan termasuk pelakon, kumpulan krew penerbitan dan pengiklanan.

Sementara itu, Jurey terkejut apabila pihak yang tidak menyokong Switch Off'14 iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) baru-baru ini telah berjumpa dengan stesen televisyen swasta bagi membincangkan tentang masalah sama yang dibangkitkan dalam kempen itu.

"Saya dapat tahu mengenai perkara tersebut menerusi laman Facebook salah satu persatuan yang tidak menyokong Switch Off'14.

"Apa yang membuatkan saya keliru ialah mereka membuat perundingan mengenai penyelarasan kadar harga belian kandungan di stesen-stesen swasta tersebut.

"Bukankah rundingan itu sama dengan Switch Off'14, yang selama ini mereka bangkang? Tambahan pula apa kaitan mereka yang menjaga industri perfileman tiba-tiba mahu bercakap mengenai masalah industri televisyen pula?," soalnya.

Dalam pada itu, Jurey turut bersyukur apabila pihak kerajaan berminat mengenai cadangan kempen tersebut.

"Apabila menteri bersuara mengenai kempen ini, kita dapat pihak kerajaan turut peka dengan masalah-masalah yang dialami industri.

"Ia juga membuatkan penggiat-penggiat seni lain sedar bahawa usaha Gafim adalah untuk keselurahan industri, bukan kerana kepentingan persatuan atau persendirian.

"Saya berharap, masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan tidak kira sama ada ia lambat atau cepat," ujarnya.

Jurey Latiff, Swtitch Off'14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain