suria

Stesen TV Tolak Kertas Cadangan Ashraf Muslim Hampir 100 Kali

Ashraf Muslim

PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit Ashraf Muslim hampir berputus asa dengan syarikat penerbitan yang ditubuhkannya iaitu Al Hidayah Production Sdn Bhd apabila kertas cadangan yang dihantar ke stesen televisyen ditolak hampir 100 kali.

Ashraf, 33, berkata, bagaimanapun dia bersyukur mempunyai rakan kongsi dan keluarga yang memberi sokongan penuh untuk terus bersemangat mengeluarkan lagi idea-idea untuk menghasilkan pelbagai program dan drama.

"Saya tahu bukan mudah mahu bergelar penerbit. Saya hampir putus asa kerana kertas cadangan sering ditolak. Bukan itu sahaja, masalah kewangan turut membuatkan saya hampir kalah dalam bidang ini.

"Tetapi Alhamdulillah, dua tahun menubuhkan Al Hidayah Production, saya berjaya menerbitkan sebanyak tujuh buah drama," katanya kepada mStar Online.

Antara drama popular terbitan syarikat itu ialah Isteri Istikharah dan Matahari Terbit Lagi yang sudah pun disiarkan beberapa bulan lalu.

Pada Anugerah Skrin 2014 yang berlangsung pada Jumaat lalu, Matahari Terbit Lagi berjaya diangkat sebagai Drama Terbaik, Pengarah Terbaik (Azeli Mohammad), Pelakon Lelaki Drama Terbaik (Anuar Chew Abdullah) dan Lakon TV Terbaik.

Tambah Ashraf, dia bersyukur melihat perkembangan syarikatnya walaupun masih lagi baru di bidang berkenaan.

Malah Ashraf juga menyifatkan, konsep mengikut syariat Islam dalam sesebuah pembikinan drama yang digunakan juga berkesan.

"Sebelum bergelar penerbit lagi, saya sering membuat pemerhatian, apakah yang perlu diubah dalam sesebuah produksi agar kita dapat mengikut syariat Islam.

"Apabila saya cuba mengaplikasikannya dalam setiap penerbitan drama, akhirnya ia membuahkan hasil menerusi kemenangan di ASK 2014 baru-baru ini.

"Bagaimanapun, isi kandungan dalam sesebuah drama itu juga penting bagi menarik perhatian penonton menyaksikan drama-drama berunsur dakwah," ujarnya.

Ashraf Muslim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain