suria

Zizan Nin Tegur Artis Baharu Gila 'Selfie'

Zizan bersama isterinya Fazilah Hani Harun.
PETALING JAYA: Pelakon Zizan Nin agak kurang senang dengan perangai segelintir pelakon-pelakon baharu yang gemar ‘berselfie’ ketika berada di lokasi penggambaran.

Zizan atau nama sebenarnya, Azizan Nin, 39, berkata, tindakan tersebut menganggu kosentrasi pelakon lain serta dilihat tidak menghormati pelakon-pelakon senior yang turut terlibat dalam sesebuah penggambaran.

"Saya gembira dengan kemunculan hero-hero baru dalam industri, namun ada segelintirnya yang saya tidak suka kerana kurang fokus ketika di lokasi.

"Pelakon lain sibuk menghayati watak tetapi segelintir pelakon lain pula suka sangat berselfie. Selalunya saya akan tegur sahaja perangai begitu supaya mereka jaga tingkah laku ketika di lokasi," ujarnya kepada mStar Online.

Zizan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kemunculan ramai pelakon-pelakon baharu dalam industri seni tanah air.

Jelasnya, pelakon-pelakon baharu perlu mengambil peluang untuk menambah ilmu daripada pelakon senior ketika berada di lokasi dariapda sibuk dengan telefon masing-masing untuk merakamkan gambar-gambar selfie.

Katanya, lebih memalukan apabila mereka gagal membawakan watak dengan baik sehingga menjejaskan jadual pelakon-pelakon lain.

"Ada segelintir pelakon yang suka main-main dan tidak berdisiplin. Bagi saya tidak guna wajah yang cantik dan tampan kalau tiada disiplin.

"Mereka seolah-olah tidak malu jika berlaku kesalahan atau gagal membawakan watak dengan baik dihadapan pelakon lama," ujarnya.

Sementara itu, Zizan yang merangkul anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Filem menerusi filem Tanda Putera pada Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) Jumaat lalu tidak menjangkakan kemenangan tersebut.

Katanya, biarpun filem tersebut kurang mendapat sambutan di pawagam, namun ia mempunyai nilai sebenar dalam tranformasi filem negara.

"Saya tidak sangka akan menang kerana mereka tidak beritahu tentang pencalonan akhir dan saya datang hanya untuk beri sokongan sahaja.

"Alhamdulillah, ini merupakan kali pertama saya ke atas pentas untuk ambil anugerah," ujarnya.
Zizan Nin

Artikel Berikut

Artikel Lain