suria

Pereka Fesyen Tuntut Chacha Maembong Pulangkan Baju Dipinjam

Ezuwan serik bekerjasama dengan Chacha Maembong.
PETALING JAYA: Pereka fesyen Ezuwan Ismail menuntut pelakon Chacha Maembong memulangkan semula baju yang tidak dipakainya di Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) yang berlangsung pada Jumaat lalu.

Ezuwan berkata, baju berwarna merah jambu itu masih lagi dalam simpanan pelakon itu sejak diambil sehari sebelum majlis tersebut berlangsung.

"Sudahlah tidak pakai baju tu, tetapi tidak pula dia pulangkan semula sehingga sekarang. Kalau tidak mahu baik pulangkan terus baju tersebut.

"Waktu ambil baju itu, dia cakap semuanya baik sahaja dan tiada mengadu apa-apa untuk saya betulkan semula," ujarnya kepada mStar Online.

Ezuwan berkata demikian bagi membalas kenyataan Chacha Maembong yang memberitahu dia mempunyai alasan tersendiri  tidak menggayakan gaun tersebut pada malam ASK 2014.

Chacha Maembong masih belum memulangkan baju rekaan Ezuwan Ismail yang tidak dipakainya pada ASK 2014.

Sementara itu, Ezuwan menganggap tindakan pelakon itu memakai busana daripada pereka fesyen lain tanpa pengetahuannya sebagai satu penghinaan.

Dia juga kesal apabila pelakon tersebut sehingga sekarang tidak menghubunginya untuk menyelesaikan hal itu atau meminta maaf secara peribadi.

"Saya datang majlis itu kerana sangka dia akan menggayakan baju tersebut tetapi ketika di sana saya nampak dia pakai baju pereka fesyen lain.

"Saya sangat kecewa kerana telah bertungkus-lumus buat baju itu tidak tidur semata-mata mahu siapkan segera dan rekaan baju adalah idea daripada kami bersama bukan saya sahaja.

"Lebih baik saya buat baju untuk pelanggan yang sudah tentu dapat bayaran daripada buat tajaan tapi tidak dipakai," ujarnya.

Dalam pada itu, Ezuwan berkata, kakak pelakon tersebut iaitu Emma Maembong ada menghubunginya bagi menjelaskan perkara sebenar.

Bagaimanapun, penjelasan yang diberikan Emma adalah selepas dia memuat naik status rasa tidak puas hatinya di laman sosial pada Sabtu.

"Selepas hal ini berlaku kakaknya Emma yang hubungi saya dan menjelaskan hal sebenar serta memberitahu alasan tidak mahu memakai baju tersebut.

"Pada saya dia tidak profesional dan saya tidak akan berkerjasama lagi dengannya pada masa akan datang," ujar Ezuwan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain