suria

Azwan Kombos Akur Untuk Bersangka Baik

Azwan Kombos tiada masalah digandingkan dengan sesiapa termasuk bekas kekasihnya Nad Zainal.
PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos memilih untuk bersangka baik dengan semua orang biarpun timbul isu terbaharu apabila ada pihak enggan bekerjasama dengannya gara-gara konflik cintanya dengan pelakon Nad Zainal.

Azwan, 29, berkata, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon biarpun melibatkan bekas kekasihnya itu.

"Saya tidak mahu berfikiran negatif tentang itu, mungkin juga dia tolak untuk berlakon drama itu berikutan ada tuntutan kerja lain.

"Bagi saya tidak ada sebarang masalah untuk bekerja dengan sesiapa sekalipun termasuklah jika digandingan dengan Nad kerana bila masuk hal kerja ia perlu profesional," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Siti Saleha


Azwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip di sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu yang mendakwa seorang pelakon wanita popular dipercayai Siti Saleha menolak tawaran berlakon drama berjudul Man Rider kerana enggan bergandingan dengannya.

Siti Saleha dikatakan bersikap sedemikian kerana dia merupakan teman baik kepada bekas kekasi Azwan iaitu pelakon Nad Zainal.

Bagaimanapun, produksi drama terbitan TV9 itu terpaksa mengantikan tempat pelakon wanita tersebut dengan pelakon baharu yang sedang meningkat naik iaitu Zara Zya.

Dalam pada itu, Azwan berkata, jika benar Siti Saleha menolak tawaran tersebut kerana soal peribadi ia merupakan satu sikap yang tidak profesional.

"Saya tidak terkilan jika dia tidak mahu berlakon dengan saya tetapi kalau alasan masalah peribadi menjadi punca, ia seperti tidak profesional.

"Saya harap dia tolak bukan sebab itu dan saya hormat keputusan dia kerana masing-masing berhak memilih dan buat keputusan," ujarnya.

Sementara itu, Azwan menambah, pemilihan pelakon untuk terlibat dalam sesebuah drama dilakukan oleh pihak stesen televisyen.

Bercerita tentang drama Man Rider, Azwan berkata, penggambaran telah selesai dilakukan sepanjang bulan Ramadan lalu dan ia bakal disiarkan pada Disember depan.
Azwan Kombos, Nad Zainal, Siti Saleha

Artikel Lain