suria

Fazley Yaakob Beku Cuti Pekerja Kerana Tempahan Macaron

Fazley sibuk menyiapkan tempahan macaron daripada para pelanggannya.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Fazley Yaakob terpaksa membekukan cuti para pekerjanya demi menyiapkan tempahan macaron bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri penghujung bulan ini.

Fazley berkata, dia tidak menyangka tempahan manisan berkenaan secara dalam talian meningkat secara mendadak sejak awal Ramadan dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

"Saya tiada pilihan selain membekukan cuti para pekerja saya kerana tempahan yang masuk sangat banyak sehingga kami tidak cukup tangan bagi menyiapkan semua tempahan.

"Alhamdulillah tempahan cukup memberangsangkan terutama secara online dan ia cukup mengembirakan," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Fazley berkata, demi memastikan produk yang diberi nama Suka Sucre itu dihasilkan mengikut standard, penyanyi lagu Asmara Ini itu sanggup mengenepikan persiapan Syawal tahun ini demi mendahulukan tempahan pelanggan.

Malah kata Fazley, dia turut mempelbagaikan perisa macaron yang ditawarkan agak lebih unik daripada kebiasaan sehingga membuatkan dia sibuk menguruskan perniagaan tersebut.

"Belum ada persiapan raya lagi kerana terlalu sibuk buat macaron... Hahaha. Saya perlu mengutamakan kepercayaan para pelanggan dan ingin memberikan yang terbaik kepada mereka.

"Insya-Allah ada sedikit masa terluang pasti persiapan Hari Raya untuk keluarga dapat disediakan," katanya yang akan menyambut lebaran di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun kata Fazley, dia sudah merancang untuk memasak juadah istimewa khas buat keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung ke rumah mereka kelak.

"Makanan seperti rendang, lemang, nasi himpit dan kuih-muih saya serahkan kepada isteri tetapi pencuci mulut saya yang akan buat khas untuk keluarga dan tetamu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fazley bakal muncul dengan watak Dr. Nefario dalam filem Despicable Me 2 versi bahasa Malaysia yang akan ditayangkan pada 28 Julai depan menerusi saluran HBO (Astro 411).
Fazley Yaacob, Macaron.

Artikel Sebelum

Artikel Lain