suria

Awi Rafael Tidak Ambil Tahu Kontroversi Bekas Kekasih

Awi tidak mengambil tahu tentang kontroversi yang sedang melanda bekas kekasihnya, Hanez Suraya.
PUTRAJAYA: Penyanyi Awi Rafael  tidak pernah mengambil tahu mengenai kontroversi yang melanda bekas kekasihnya, pelakon Hanez Suraya ketika ini.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 28, berkata, sejak berpisah pada tahun lalu, mereka tidak lagi berhubung antara satu sama lain namun dia tetap mendoakan yang terbaik buat Hanez.

"Apa yang berlaku sebelum ini adalah pengajaran kepada saya dan pada tahap ini saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mengambil tahu mengenai hal-hal berkaitan dengannya lagi," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu penyanyi lagu Asalkan Aku OK!  ini diundang untuk mengadakan persembahan bersama Krisdayanti sempena minggu setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa  Putrajaya (PICC)  yang bakal berlangsung di Dewan Perdana, PICC pada 17 April ini.

Awi Rafael
Awi tidak pernah menyesal meninggalkan Hanez.

Dalam pada itu, Awi berkata, dia tidak pernah menyesal memutuskan hubungannya dengan Hanez kerana ia adalah keputusan terbaik untuknya pada ketika itu.

Kata Awi, biarpun hubungan itu tidak kekal lama namun ia banyak memberi pengajaran dan mematangkannya dalam pelbagai sudut kehidupan. 

"Saya tidak kesal mengikut kata hati saya dan pada masa sama ia banyak memberi pengajaran biarpun ia tidak kekal lama," katanya. 

Tambah Awi, dia kini tidak mempunyai pengganti dan memberikan fokus sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian. 

Sementara itu, Awi menolak dakwaan lagu duetnya bersama Altimet berjudul Kalau Aku Kaya ditujukan kepada bekas kekasihnya itu.

Awi berkata, tanggapan tersebut tidak masuk akal kerana dia hanya menyanyikan lagu berkenaan. Ia dicipta oleh Altimet, Omar K dan Audi Mok.

"Tidak benar sama sekali dan orang mungkin hanya salah anggap tambahan pula bukan saya yang buat lagu itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Awi sedang sibuk di studio rakaman bagi menerbitkan lagu terbaharu untuk penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Alif Aziz, Aisyah Aziz dan Syura.

Artikel Lain