suria

Noryn Aziz Hamil Selepas Empat Tahun Kahwin

Noryn Aziz bersyukur akhirnya dia disahkan hamil pada Januari lalu selepas empat tahun berkahwin dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada 2010. Foto RAJA FAISAL HISHAN.
PUTRAJAYA: Penyanyi Jaz iaitu Noryn Aziz menganggap berita kehamilannya pada Januari lalu adalah hadiah paling besar yang pernah diterimanya.

Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 37, berkata, sejak berkahwin dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada 2010 dia memang menantikan saat-saat bergelar ibu dan akhirnya ia bakal menjadi kenyataan.

"Sebelum ini macam-macam cara saya dan suami ikhtiar untuk mendapatkan zuriat namun tidak berjaya.

"Alhamdulillah usaha dan doa kami berdua akhirnya membuahkan hasil dan saya kini sedang hamil empat bulan dan dijangka bersalin pada September depan," katanya kepada mStar Online.

Noryn ditemui pada sidang media Secretaries Week @ PICC yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Isnin.


Penyanyi itu bakal membuat kemunculan istimewa pada persembahan istimewa Minggu Setiausaha bersama Afghan di Dewan Perdana pusat konvensyen itu pada 16 April ini.

Noryn memberitahu tidak mengalami sebarang alahan pada kehamilannya namun mengakui mudah penat. 

Dalam pada itu, Noryn berkata, sebelum disahkan hamil dia banyak melakukan rawatan akupunktur yang disarankan oleh  rakannya yang juga penyanyi, Nurul Wahab.

Jelas Noryn, rawatan tersebut banyak membantunya dalam melancarkan kembali sistem dalamannya tambahan pula dia mengalami masalah kurang darah dalam badan.

"Alhamdulillah dengan izin Allah selepas beberapa kali melakukan rawatan itu saya disahkan hamil anak pertama selepas sekian lama mencuba mendapatkan zuriat.

"Saya juga banyak meminta nasihat dan pandangan daripada rakan selebriti seperti Nurul dan Betty Benafe kerana mereka mempunyai pengalaman," ujarnya.

Tambahnya lagi, buat masa ini dia tidak mengalami sebarang alahan teruk namun mengakui sentiasa berasa penat.

Sementara itu, Noryn berkata, dia berhasrat untuk memperlahankan karier nyanyiannya selepas ini dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir.

Penyanyi lagu-lagu Jazz ini akan membuat kemunculan istimewa pada persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 April.

Bagaimanapun kata Noryn, itu tidak bererti dia akan meninggalkan terus bidang nyanyian sebaliknya akan lebih memilih undangan yang ditawarkan kepadanya.

"Mungkin saya akan kurang mengadakan persembahan bersifat komersial namun jika ia berkaitan dengan kebajikan atau acara tertutup saya akan terima.

"Saya juga mahu kembali menjadi pengajar dalam bidan vokal selain memberi tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir," ujarnya.

Tiket untuk menyaksikan persembahannya pada Secretaries Week @ PICC dijual   serendah RM5,880 hingga RM8,880 untuk sebuah meja yang memuatkan 10 tetamu.

Noryn Aziz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain