suria

Dunia Sinema Bukan Hanya Filem Terbitan MIG

Naib Presiden Eksekutif New Media TM, Jeremy Kung dan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, David Teo

KUALA LUMPUR: Saluran filem Melayu pertama iaitu Dunia Sinema yang boleh ditonton melalui HyppTV bukan hanya menawarkan filem-filem di bawah terbitan Metroweath International Group (MIG) sebaliknya turut memberi ruang kepada karya penerbit lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo, berkata, pihaknya dilantik untuk menyediakan kandungan filem tempatan, namun turut membuka peluang kepada penerbit-penerbit lain  membekalkan koleksi filem-filem yang mereka hasilkan walaupun MIG mendapat hak sebagai penyedia kandungan bagi saluran itu.

"MIG diberi tanggungjawab untuk mengisi kandungan kepada saluran Dunia Sinema ini berdasarkan kemampuan syarikat ini menyediakan kandungan yang mencukupi.

"Bagaimanapun ia juga membuka peluang kepada mana-mana syarikat produksi lain untuk menayangkan filem-filem terbitan mereka tidak kira baru atau lama," katanya pada sidang media pelancaran saluran filem baharu Dunia Sinema, di Menara TM, di sini, Rabu.

Dunia Sinema ini merupakan kerjasama antara perkhidmatan IPTV Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan MIG melalui platform HyppTV.

Sementara itu, tambah David, sebagai permulaan pelbagai filem terbaik  merangkumi semua genre akan ditawarkan dalam satu pakej dengan harga RM10 sebulan bermula pada 1 April depan. 

"Kita akan pilih 10 buah filem pelbagai genre untuk disiarkan secara berulang kali selama sebulan dengan bayaran yang cukup murah.

"Ia bagi tempoh percubaan selama enam bulan dan jika mendapat sambutan, kita akan menambah bilangan kepada 15 buah filem sebulan," katanya. 

Naib Presiden Eksekutif, New Media TM, Jeremy Kung, berkata, saluran baharu ini   memberi lebih banyak penawaran di HyppTV untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Bertepatan dengan ulang tahun Unifi dan HyppTV yang keempat ini, kami menambah satu saluran tempatan khas buat peminat filem Melayu.

"Saya yakin pihak MIG dapat mengendalikan Dunia Sinema ini dengan kandungan filem-filem yang terbaik dan mempu menarik lebih ramai pelanggan untuk melanggan HyppTV," katanya.

Majlis turut diserikan dengan beberapa artis popular seperti Diana Danielle, Shaheyzy Sam, Nad Zainal, dan artis-artis di bawah naungan syarikat produksi itu. 

Dunia Sinema, MIG, TM, HyppTV

Artikel Lain